Tag Archives: biajak

Fesyen Berjenama

Trauma Awal Ashaari

Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

BIJAK berfesyen, Awal kini mengendalikan program W yang menyingkap mengenai fesyen artis wanita.


PERNAH menjuarai French Connection United Kingdom (FCUK), Model Search Malaysia 2004 serta Most Eligible Bachelor 2005, jejaka kacak ini terus dilabel sebagai lelaki metroseksual.

Bertitik tolak daripada itu, dirinya kian popular serta laris di pasaran dalam mewarnai dunia seni hiburan tempatan.

Bermula sebagai penyampai anugerah di beberapa majlis anugerah seperti Festival Filem Malaysia, Asian TV Awards Singapore dan Anugerah Skrin, dia kemudiannya dilamar untuk menjadi pengacara serta pelakon.

Dalam dunia lakonan, jejaka berusia 27 tahun ini pernah muncul menerusi drama antaranya Cinta Medik, Impak Maksima The Series dan Impian Ilyana selain filem Diva, I’m Not Single serta Apa Kata Hati?.

Petah berkata-kata, dia kemudiannya diberi kepercayaan untuk menjadi hos bagi program realiti One In A Million, Generasi Y dan terbaru, W.

Begitulah popularnya empunya diri bernama Ahmad Awaluddin Ashaari atau lebih dikenali dengan panggilan Awal.

Namun, di sebalik peningkatan popularitinya serta label metroseksual yang melekat dalam dirinya, Awal kini bagaikan trauma.

Mana tidaknya, memegang status itu, dia harus menjaga penampilan dari hujung rambut ke hujung kaki dengan fesyen terkini dan sudah tentunya berjenama serta mewah.

Mengakui puas andai seluruh badan bermandikan fesyen berjenama, Awal akhirnya sedar.

“Memang ada kepuasan jika memiliki barangan mewah dan berjenama tetapi jika kita asyik memikirkan tentang itu, kita boleh ‘mati’.

“Satu ketika dahulu, saya amat fanatik terhadap pakaian berjenama sehinggakan berhabis banyak duit.

“Hampir-hampir saya hidup merana gara-gara mengejar status mewah,’’ katanya ketika ditemui di majlis pelancaran program W, Maria dan Icip-Icip terbitan TV3 di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

W akan dihoskan oleh Awal, manakala Maria dan Icip-Icip pula masing-masing oleh Maria Tunku Sabri dan pendatang baru, Anis Nabilah Umaruddin.

Menyambung bicara mengenai jenama, Awal kemudiannya menjelaskan kini hidupnya semakin bahagia apabila mengubah stail hidup.

“Sekarang saya tidak fikirkan sangat soal memilih pakaian berjenama kecuali tiga benda iaitu kasut, jam dan beg.

“Apa yang saya nampak elok walaupun murah, saya akan beli. Kadang-kadang, pakaian yang murah akan nampak eksklusif jika kita pandai menggayakannya.

“Untuk itu, kita perlu jadi seorang yang kreatif,’’ jelas anak kelahiran ibu kota ini lagi.

Bila Awal bicara mengenai fesyen wanita

Menyentuh mengenai fesyen, baru-baru ini Awal dilamar TV3 untuk mengendalikan sebuah rancangan berjudul W.

Uniknya, program terbaru yang bersiaran setiap Rabu, pukul 11.30 pagi itu akan menyingkap perkembangan semasa selebriti dan ikon wanita dalam industri hiburan. W turut membongkar fesyen terkini kalangan artis wanita.

Ditanya mengenai pembabitannya terhadap fesyen wanita, Awal berkata: “Memang ada yang mempertikaikan apakah saya mampu mengacarakan program bercorak fesyen wanita.

“Sebenarnya, dalam W, saya tidak akan komen apa-apa mengenai fesyen wanita. Semuanya akan dikomen oleh pakar.

“Saya memang minat fesyen. Pengalaman menjadi hos red karpet (karpet merah) dalam banyak acara telah memberi saya banyak input mengenai fesyen terutamanya fesyen wanita.

“Saya juga banyak berkenalan dengan pereka fesyen. Dari situ, saya belajar dan ia membantu saya mengacarakan W,’’ katanya.

Awal dan Mannequeen

Menurut Awal, ekoran minatnya terhadap dunia fesyen, dia dan beberapa lagi rakan kongsi sudah pun memulakan perniagaan pakaian dan aksesori berkonsepkan butik secara online.

Menggunakan label Mannequeen, butik online itu menjual segala barangan seperti pakaian, jam, kasut dan beg.

“Dari harga serendah RM30 hingga RM130, orang boleh membuat pesanan dengan melayari http://www.mannequeenclothing.blogspot.com.

“Segala pakaian dan aksesori itu dibeli ketika saya dan beberapa lagi rakan kongsi melancong ke luar negara seperti Bangkok, China dan Hong Kong.

“Idea mewujudkan butik online hadir daripada peminat yang amat menggemari apa sahaja yang saya minat dan pakai.

“Dari situ, saya akan membeli pakaian yang saya minat di luar negara dan jual menerusi butik online itu,’’ katanya.

Berlakon bersama bintang Filipina

Selain menjadi hos W dan Generasi Y, awal bakal mencipta nama di Filipina apabila ditawarkan berlakon menerusi drama bersiri The Gangster’s Daughter arahan Gilbert Perez.

Apa yang membanggakan Awal juga ialah dia akan bergandingan dengan dua pelakon popular Filipina iaitu Kristine Hermosa dan Jericho Rosales.

Pengambaran drama berkenaan akan bermula 4 April di Malaysia dan Filipina pula sekitar Jun depan.

“Drama bersiri ini akan ditayangkan di RTM dan sebuah stesen televisyen di Filipina. Drama ini menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Tagalog,’’ katanya.

Ujar Awal, pembabitannya dalam drama itu merupakan peluang keemasan baginya untuk mencipta nama serta mempelajari teknik lakonan dari dua pelakon ternama iaitu Kristine dan Jericho.

“Saya rasa amat kecil jika hendak dibandingkan dengan mereka berdua. Umum ketahui yang mereka adalah pelakon hebat.

“Saya akan buat yang terbaik dan akan mengaut seberapa banyak ilmu dengan mereka serta pengarah di sana,’’ tambahnya.