Category Archives: Festival Busana Muslim

Festival Busana Muslim

IFF angkat rekaan lebih prestij

Oleh Noriah Idris
noriah@hmetro.com.my

PEMILIHAN kebanyakan fesyen di pentas peragaan Hotel Mulia Senayan, Jakarta baru-baru ini sempena Festival Busana Muslim (IFF) Kuala Lumpur-Jakarta begitu eksklusif dan sesuai untuk dipakai di majlis berprestij.

Pemilihan warna, corak bunga-bungaan atau polos serta padanan tudung beraneka, dilihat sesetengah pemerhati fesyen industri busana Muslimah menuju ke satu peringkat yang boleh melonjak lebih jauh lagi.

Festival buat kali kedua itu dilihat bukan sekadar ikon fesyen semata-mata bahkan mampu menjana pendapatan yang menghasilkan pulangan tinggi kepada negara.

Dinobatkan sebagai negara kedua di dunia yang paling ramai penduduknya menganut Islam, pemilihan Indonesia sebagai tuan rumah dalam penganjuran festival fesyen dikatakan tepat pada masanya.

Jika pada November tahun lalu menyaksikan festival pertama IFF mendapat sambutan menggalakkan, kali ini ia cuba mengalih tumpuan pereka dan peminat ke Jakarta bagi merealisasikan fesyen sebagai penyatuan dua negara serumpun.

Menurut Pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah, penganjuran di negara berkenaan dianggap lebih istimewa kerana menampilkan banyak penyertaan baru baik dari Malaysia mahupun Indonesia.

“Apa yang membanggakan, selain memaparkan rekaan masing-masing, pereka berkongsi panduan pemakaian busana Muslimah serta padanan selendang, tudung dan aksesori bersesuaian.

“Tip mengenai warna, fabrik serta penampilan lengkap wanita Islam dipamerkan dengan padanan pakaian begitu menarik apatah lagi ramai wanita hari ini mementingkan gaya dan teknik pemakaian yang sesuai ke majlis eksklusif,” katanya.

Menurut Rezza, nama pereka seperti Melinda Looi dari Malaysia, antara yang mampu memberi suntikan baru kepada busana Muslimah.

Manakala Chossy Latu, Harry Dharsono, Resna dan Sapto, Ghea Pangabean serta Ana Avanti dari negara jiran dilihat sebagai penggiat yang kreatif dalam merancakkan lagi industri fesyen ini.

Jika nama besar dalam dunia fesyen tanah air sebelum ini dimonopoli Datuk Tom Abang Saufi, Radzuan Radziwill, Carven Ong dan Melvin Lam, perkembangan semasa menyaksikan pereka muda seperti Kapas Couture turut menampilkan rekaan yang berani lagi terkini.

Secara umumnya, keseluruhan fesyen busana Muslimah menampilkan rekaan mengikut perkembangan fesyen dengan fabrik terpilih yang cukup menarik sehingga memukau khalayak terutama golongan ternama yang menjadi tetamu khas di IFF KL-Jakarta.

Selain sesuai digayakan di majlis eksklusif, pereka di IFF kali ini mampu mengetengahkan cetusan idea yang pelbagai tetapi paksinya tetap bertunjangkan penutupan aurat dalam usaha menggalakkan lagi gaya santun dalam berbusana.

“Jika sebelum ini kerancakan fesyen lebih banyak dipacu pereka dari Barat, kita mahu meletakkan busana Muslimah mendominasi industri fesyen tanah air di samping boleh meraih pulangan memberangsangkan dari sudut ekonomi hingga ke peringkat antarabangsa.

“Dengan adanya penganjuran seperti ini, impian untuk melihat industri busana Muslimah menguasai dunia fesyen akan dapat direalisasikan.

“Perkara ini pernah menjadi hasrat Penaung IFF, Datin Seri Rosmah Mansor yang mahu meletakkan busana ini sebagai daya tarikan penting terutama kehadiran pelancong asing dari Timur Tengah,” katanya.

Antara fesyen diketengahkan dan memukau lebih 700 hadirin di Jakarta baru-baru ini adalah gaya glamor yang berjaya meletakkan busana Muslimah dalam kelasnya yang tersendiri.