Category Archives: Produk Kecantikan

Produk kecantikan

Artis, produk kecantikan

KALAU bercerita tentang produk kecantikan, artis sering kali dikaitkan. Mengapa? Kerana kecantikan dan artis tidak boleh dipisahkan. Mereka berjalan seiringan. Sama seperti fesyen.

Maka tidak hairanlah kalau banyak produk kecantikan, dalam dan luar negara, jenama tempatan dan antarabangsa akan tetap menggunakan artis untuk menarik perhatian khalayak sekali gus menjadi ‘pelaris’ jualan.

Maka tidak hairan jugalah kalau artis cantik, jelita dengan wajah putih mulus menjadi pilihan produk kecantikan untuk menjadikan mereka duta barangan syarikat masing-masing.

Malah seringkali juga artis-artis menjadi senarai jemputan kepada syarikat jenama besar untuk melancarkan produk-produk baru dalam dunia kecantikan dan kosmetik.

Ketika ini, di Malaysia, nama-nama seperti Maya Karin dan Fasha Sandha menjadi antara nama dalam senarai utama pencari wajah untuk dijadikan duta produk kecantikan.

Mereka jadi rebutan. Kerana apa? Kerana mereka cantik, popular dan nama sedang meniti di bibir penggemar mereka. Lalu, ia menjadi aset berharga buat syarikat produk kecantikan dalam ‘menjual’ produk mereka.

Dan mereka juga tidak dibayar dengan harga murah. Ada mencecah ratusan ribu ringgit untuk kontrak masing-masing yang pada Wanda memang satu jumlah yang lumayan.

Pun begitu, ada artis yang mengambil keputusan untuk menghasilkan produk kecantikan menggunakan formula sendiri selepas bergelar duta kepada produk lain.

Antaranya Erra Fazira yang menjadi duta Avon selama lima tahun berturut-turut sebelum menghasilkan produk kecantikannya sendiri, Ferra KosmoLook atau Ferra KL.

Menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Jerman, buat permulaan Ferra KL mengeluarkan dua set penjagaan wajah iaitu Ferra Basic yang terdiri daripada sabun dan bedak kompak dan Ferra White (pencuci, toner, krim siang dan krim malam) dengan menggunakan bahan organik pada harga yang berpatutan.

Malah Ferra KL juga merupakan produk pertama seumpamanya yang menggunakan bahan daripada serbuk koko yang terkenal sebagai bahan anti-oksidan serta pelindung sinaran UV secara semulajadi.

Penyanyi rock, Ella juga muncul dengan produk kecantikan dan kesihatannya sendiri yang diberi nama Ella: Beauty That Rocks The World. Ella mengeluarkan tiga produk kecantikan dan kesihatan iaitu semburan bio oksidan, produk pelangsingan El Treem dan El Beauty Soap iaitu sabun yang berasaskan madu dan ekstrak gamat.

Ella juga menegaskan kesemua produk keluaran syarikatnya itu adalah selamat dan tiada kesan sampingan kerana ia menggunakan bahan organik dan tidak mempunyai bahan kimia.

Dan sememangnya bagi mereka yang pernah mencuba produk Ella, pasti akan terpegun dengan hasil semburan bio oksidannya yang memang berkesan.

Terkini, penyanyi Sheila Majid bakal melahirkan produk jenamanya, Jerneh yang dikeluarkan selewat-lewatnya Ogos ini yang bukan semata-mata untuk kecantikan tetapi bertujuan ingin melakukan sesuatu dalam mendidik wanita Malaysia tentang definisi sebenar kecantikan dan kosmetik.

Jerneh kata Sheila, merupakan rangkaian produk kecantikan yang lahir dari ideanya sendiri dengan kerjasama dua orang sahabatnya.

Wanda sendiri memang suka dengan produk kecantikan dan tak sabar menantikan kemunculan Jerneh selepas Sheila berjaya dengan perniagaan spa.

Dan tentunya apabila kita berniaga, pasti akan ada pulangan yang diterima dan Wanda yakin, melalui nama masing-masing dapat memberi impak kepada penjualan.

Selain dapat menghasilkan produk yang mampu memberi manfaat kepada pengguna, hasil penjualan itu juga dapat memberikan hasil kepada satu masa depan yang cerah. Tidak sahaja kepada artis itu sendiri tetapi juga stokis masing-masing.

Advertisements