Category Archives: Jubah

Jubah

Bergaya dengan jubah
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my

Layari : Ening Collection

Link : TUTORIAL MENJAHIT JUBAH

Jubah Muslimah

Jubah Muslimah

MENJELANG Aidiladha, ramai yang tercari-cari pakaian sesuai untuk menyambut ketibaan hari mulia itu.

Biarpun sambutan terhadap perayaan ini tidak sehebat Aidilfitri, penghayatan Hari Raya Korban itu perlu dilihat dalam sudut yang penuh keinsafan.

Ramai yang mengambil kesempatan dengan mengunjungi sanak saudara bahkan tidak kurang juga menziarahi kubur ibu bapa atau keluarga terdekat.

Bagi sesetengah mereka yang mementingkan penampilan dalam berfesyen, hadirnya hari yang bermakna itu disulami dengan penampilan sopan termasuk berjubah.

Menurut pemilik Bayti Living, Nor Khafizah Masri, jubah yang didatangkan dari Dubai yang diketengahkannya memiliki pesona tersendiri.

“Jika mereka inginkan penampilan penuh kesantunan, kebanyakan jubah atau abaya kami mempunyai pelbagai pilihan.

“Pilihan warnanya dalam rona hitam termasuk sulaman penuh kemasan yang membuatkannya begitu eksklusif.

“Kebanyakan penggemar jubah kami mengutamakan sulaman atau kerawang yang penuh keunikan,” katanya.

Berkemahiran dalam penataan seni hiasan dalaman dengan mengutarakan konsep Timur Tengah, Nor Khafizah juga pandai melakar gaya jubahnya seiring kehendak semasa.

“Memandangkan masyarakat sekarang cenderung dengan nilai keislaman dalam suai padan pakaian yang sopan lagi anggun, jubah atau abaya menepati kehendak ramai.

“Bukan hanya untuk kehadiran perayaan bahkan untuk menghadiri majlis tertentu, ia bersesuaian untuk apa saja upacara.

“Daripada golongan remaja, penuntut mahupun mereka yang sudah berkerjaya sehingga suri rumah, rekaan ini cuba memenuhi keperluan semua,” katanya.

Dia mengakui, kebanyakan pelanggan menyenangi konsepnya yang sederhana tetapi hadir dalam bentuk eksklusif.

“Saya berhasrat mengembangkan lagi cita-cita memiliki busana Muslimah dalam skala yang lebih besar.

“Mungkin segalanya akan terlakar tidak lama lagi memandangkan permintaannya amat menggalakkan. Untuk itu, saya akan realisasikan busana Muslimah saya nanti dengan unsur yang mungkin tidak ada pada kebanyakan pemilik busana sedia ada,” katanya.