Category Archives: Rekaan Batik

Batik Noor Arfa

Batik Noor Arfa berseni

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

KOLEKSI fesyen batik terkini Noor Arfa Batek Sdn Bhd (Noor Arfa) yang dipertontonkan di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini, jelas menampilkan kehalusan dan kecantikan seni rekaan yang tersendiri.

Tidak terlalu memberi tumpuan untuk gaya musim perayaan, himpunan Noor Arfa turut diselitkan dengan fesyen terbaru yang boleh digayakan pada hari biasa ataupun majlis rasmi di malam hari.

Menurut perekanya, Shabri Saad, himpunan berkenaan banyak menggunakan pelbagai jenis fabrik bermutu seperti sifon, satin, jacquard, organza dan kapas dengan motif flora, abstrak serta kontemporari.

“Masyarakat kini tidak lagi memandang batik sebagai fabrik murahan. Batik kini mempunyai peminat dan berada dalam kelas yang tersendiri.

“Sedikit sentuhan kreatif menggabungkan elemen tradisional dan moden mampu menjadikan sesuatu fesyen yang selama ini kelihatan biasa kepada gaya menarik dan lebih kontemporari,” katanya.

Bagi penggemar batik, anda tidak perlu lagi pening kepala mencari pereka atau tukang jahit untuk menempah pakaian kerana semakin banyak pakaian siap dijual di pasaran.

Sesekali berkebaya moden ketika menghadiri majlis rasmi memang tampak menawan, terutama jika ia dipadankan dengan sarung batik warna senada.

Kebaya jarang yang disulami manik dan kerawang berkenaan jelas mampu menyerlahkan gaya feminin pemakai apatah lagi menggayakannya bersama selendang.

Jika mahukan kelainan, boleh memilih koleksi kebaya Noor Arfa sama ada pendek mahupun moden dengan pelbagai jenis leher menarik, mengikut cita rasa masing-masing.

Untuk acara hujung minggu, fesyen blaus panjang belah tepi dengan leher baju kurung memang bergaya. Tambah menarik jika ia dipadankan bersama celana putih dan menyarungkan kasut bertumit tinggi.

Tidak ketinggalan fesyen baju labuh tanpa lengan menarik yang sesuai bagi mereka yang ringkas dan gemarkan keselesaan.

Bagi yang masih kental dengan fesyen tradisi, koleksi baju kurung Noor Arfa yang terbaru boleh dijadikan pilihan. Masih mengekalkan bentuk asal namun rekaan bajunya dipelbagaikan bagi menepati cita rasa pemakai masa kini.

Tampak santai dan selesa, pelbagai jenis kemeja batik menarik sama ada berlengan panjang mahupun pendek untuk si jejaka yang mementingkan gaya.

Mahu lebih eksklusif, kemeja batik sutera corak abstrak sesuai dijadikan pilihan manakala kemeja lengan pendek daripada fabrik kapas pula untuk bersantai di hujung minggu bersama rakan mahupun yang tersayang.

Rekaan Batik

Rekaan kontemporari batik

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

EKSKLUSIF, mewah dan terkini. Tiga perkataan ini sudah cukup untuk menggambarkan kehalusan dan kecantikan seni batik yang dihasilkan 19 pengusaha batik dari Negeri Terengganu Darul Iman yang dipamerkan sempena Minggu Batik Terengganu 2007 yang diadakan di bangunan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), minggu lalu.

Pelbagai rekaan terbaru dan moden menggunakan rekaan batik daripada pelbagai jenis kain seperti sifon, satin, jacquard, organza dan kapas dengan motif abstrak, kontemporari, bunga serta alam semula jadi dipamerkan kepada orang ramai.

Antara pengusaha yang mengambil bahagian termasuk Nozi Batik, Saralisa Interior, STR Sdn Bhd, Seem Noor Batek, Imbasan Damai Sdn Bhd, Noor Arfa Batek Sdn Bhd, Batik Pelangi, Warna Suter Batek, Batik Praktikal, Rino Batik, Narfilindo Batik (M) Sdn Bhd, Noor Hafiza Batik, Natifah Batik, Perniagaan Citrawarna, Sri Ibai Batik, Zul Collection, NBS Batik, Kamis Batik, Rosazlin Collection dan Rumah Kraf.

Program berkenaan anjuran bersama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dengan kerjasama Persatuan Batik Terengganu (Pembatik) bagi mempromosikan produk batik negeri itu yang diadakan pada 25 hingga 29 Jun lalu.

Sementara itu, Pengurus Seem Noor Batek, Wan Noordiran Wan Long, berkata pengusaha batik ketika ini perlu sentiasa mencari idea baru bagi memastikan rekaan yang dihasilkan menepati cita rasa pelanggan tidak terkecuali kaum India dan Cina.

“Kita dapati, corak batik bukan saja sesuai dibuat baju kurung atau kebaya, tetapi boleh dipelbagaikan termasuk dijadikan cheongsam, baju punjabi dan blaus.

“Yang penting, kita perlu kreatif bagi memastikan setiap rekaan yang dihasilkan digemari semua golongan, termasuk pelancong supaya dapat disesuaikan dengan negara mereka serta majlis yang akan dihadiri.

“Selain itu, rekaan baju siap dijahit juga perlu diperbanyakkan, kerana kadang-kadang pembeli sukar mendapatkan fesyen sesuai dengan jenis kain yang dibeli, dengan menyediakan baju siap dijahit mereka boleh terus membeli mengikut kehendak, cita rasa dan bajet yang dimiliki,” katanya ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen sempena Minggu Batik Terengganu 2007, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Khamsiyah Yeop.

Wan Noordiran, berkata beliau sendiri mendapat bantuan daripada suaminya yang juga pensyarah di Fakulti Tekstil di Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menghasilkan rekaan terbaru, unik dan moden, sekali gus memudahkan produk keluarannya dipasarkan.

“Ini kerana, kebanyakan pelanggan ketika ini tidak lagi gemar rekaan lama, tetapi lebih menggemari corak atau motif baru, segar dan lain dari yang lain supaya kelihatan lebih menarik sama ada ketika majlis rasmi atau bersantai,” katanya.

Menurutnya, semua pengusaha batik di bawah naungan Persatuan Batik Terengganu (Pembatik) turut melantik seorang penasihat fesyen yang juga dari UiTM supaya menghasilkan rekaan terkini, sekali gus memnbezakan rekaan batik dari Terengganu dengan negeri lain.

“Malah, ia perlu bagi memastikan produk batik dapat terus diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.