Category Archives: Tudung Wanita

Tudung Mesti Serasi Dengan Gaya

Gaya, bertudung mesti serasi

Oleh Noriah Idris
noriah@hmetro.com.my

PENAMPILAN bertudung yang cantik lagi eksklusif sering mengundang tumpuan. Sebagai gaya pelengkap diri, berbusana muslimah dengan tudung menawan membuatkan gayanya kelihatan mewah, dihiasi ciri penuh kesopanan.

PENAMPILAN bertudung yang cantik lagi eksklusif sering mengundang tumpuan. Sebagai gaya pelengkap diri, berbusana muslimah dengan tudung menawan membuatkan gayanya kelihatan mewah, dihiasi ciri penuh kesopanan.

Gaya tudung yang tidak kemas hakikatnya boleh menjejaskan penampilan seseorang. Justeru, tidak guna bertudung jika tidak tahu mengenakan gaya sepadan dengan pakaian.

Tambahan pula, jika digayakan si gadis jelita, pasti ramai menjeling ke arahnya. Cara si gadis mengenakan tudung yang dilapisi padanan warna senada membuatkan ramai terpesona.

PSF Boutique & Gift Shop di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, milik Puan Sri Faridah Idris barangkali mampu melengkapkan ketrampilan diri anda.

Menurut Pengurus Pemasaran syarikat berkenaan, Fauziah J Babjee, cara bertudung yang mementingkan kekemasan melambangkan keperibadian seseorang. Tanpa mengira masa, bertudung bukan sesuatu yang bermusim.

Bahkan kesesuaiannya dengan penampilan seseorang disempurnakan dengan pemilihan aksesori, ditambah dengan pilihan pakaian tradisional dan kontemporari, melengkapkan penampilan diri yang penuh sopan.

“Kami menyediakan fesyen eksklusif tetapi mengutamakan ciri rekaan tradisional dan terkini. Ia sesuai untuk mereka yang ada cita rasa penuh keanggunan ditampilkan dengan gaya terkini.

“Walaupun ia sesuai dipakai dalam apa juga majlis baik rasmi atau santai, sempena kehadiran Hari Raya ini, fesyen pilihan butik ini memang serasi untuk semua orang tanpa mengira usia.

“Kami menyediakan rekaan fesyennya dalam pelbagai pilihan, daripada urusan pejabat hingga ke majlis eksklusif,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pakaian di butik berkenaan direka dengan ciri tersendiri oleh pereka berpengalaman.

Bagi penggayaan busana kali ini, fesyen bersulam indah dipadan pula dengan warna menarik termasuk tona warna senada, pastinya membangkitkan gaya menawan.

“Dalam memilih warna serasi dan dipadan dengan selendang atau tudung, pemilihan warna memainkan warna tersendiri. Jika silap memilih fesyen, ia akan mencacatkan gaya seseorang.

“Untuk itu, fesyen dan gaya serta warna memainkan peranan tersendiri. Jika pandai mengenakannya, bukan saja pakaian dilihat cantik tetapi penampilan juga penuh bergaya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my

Advertisements

Gaya Pemakaian Tudung

Pemilihan tudung tingkatkan penampilan

Oleh: MERAN ABU BAKAR

PEMAKAIAN tudung sudah menjadi satu kelaziman di kalangan wanita Islam di negara ini dalam memenuhi tuntutan menutup aurat sebagaimana yang telah disyariatkan.

Tanpa meminggirkan niat asal tersebut dan seiring dengan perkembangan semasa, tudung menjadi sebahagian elemen fesyen yang sedikit sebanyak berperanan meningkatkan penampilan diri wanita muslimah.

Pemakaian tudung dan selendang di kalangan wanita masa kini semakin hari semakin kreatif lebih-lebih lagi dengan rekaan-rekaan yang menarik dan bervariasi.

Bukan saja di kalangan remaja bersekolah, pemakaian tudung jelas bertambah meluas di kalangan suri rumah, golongan profesional, selebriti, tokoh pemimpin, sehinggalah kepada kerabat diraja.

Begitupun, masih ramai wanita yang tidak memahami pemilihan tudung yang sesuai dengan bentuk muka, warna yang sepadan dengan pakaian, tempat yang dihadiri dan sebagainya.

Menurut pereka fesyen dan tudung serta pemilik Rousse Design, Rosemawati Md. Noh, apabila berbicara tentang tudung, terdapat beberapa pecahan mengenainya. Tudung boleh dibahagikan kepada anak tudung, tudung empat segi, selendang, tudung sarung, serkup, topi dan turban.

Tudung empat segi yang dipakai oleh kebanyakan wanita Melayu pula dibuat daripada beberapa jenis kain seperti kain bawal, sifon dan polyana (campuran poliester dan kain kapas).

‘‘Hanya beberapa jenis kain sahaja yang sesuai dan cantik untuk membuat tudung seperti sutera, sifon dan bawal,’’ kata Rosemawati.

Sementara itu tambah beliau, kain memeri (stretchtable) dan kain spandex menjadi pilihan pereka tudung untuk membuat tudung sarung kerana kain jenis itu berat dan terletak cantik di atas kepala apabila memakainya.

Turban juga sesuai dibuat daripada kain memeri, namun ia bergantung kepada rekaan turban itu sendiri. Selain kain memeri, turban turut sesuai dibuat daripada kain kapas di mana pemakainya tidak akan berasa terlalu panas.

Rosemawati yang menghasilkan pelbagai rekaan tudung dan hiasan di atas tudung turut mencipta topi kait yang dibuat daripada benang bulu dan pemakaian topi ini sesuai dengan baju berleher turtle neck. Topi jaring pula dipakai sebagai hiasan di atas kepala selepas memakai tudung.

Namun rekaan tudung Rosemawati yang lebih eksklusif adalah tudung empat segi bawal berhias manik. Manik-manik Jepun yang halus, berkilat, tidak luntur warna dan tidak mudah pecah dijahit di atas bahagian kepala (berbentuk seperti cekak), di bahagian tepi tudung atau sudut sahaja.

‘‘Tudung eksklusif ini dibuat daripada kain bawal jenis A yang lembut, tidak berbulu apabila dibasuh, tidak panas dan selesa dipakai,’’ ujar Ros.

Beliau berkata, bagi membuat tudung ini, memerlukan kain bawal jenis A sepanjang 1.2 meter. Kemudian bahagian tepi tudung dijahit halus.

Seterusnya manik halus dijahit pada dua bahagian tepi tudung. Bagi jahitan manik untuk atas kepala, lipat dua tudung bentuk tiga segi dan jarakkan setengah inci daripada bahagian tepi atas tudung.

Dipetik dari Utusan Online – http://www.utusan.com.my/

Tudung Wanita

Tutup kepala menawan, dapat pahala

SUNGGUH mengagumkan apabila fesyen terutama untuk wanita membuka ruang diskusi dan perdebatan, dari pentas peragaan di Paris dan New York hingga ke padang pasir berkerikil di negara Arab mengenai pakaian lelaki dan wanita sama ada dipandang dari sudut negatif atau positif.

Beberapa tahun lalu, perdebatan berkisar isu pakaian wanita Islam hebat diperkatakan dan aspek yang sangat mempesonakan ialah kebanyakan perdebatan itu didominasikan bukan Muslim.

Kepada sesetengah pihak, wanita bertudung lingkup dari kaki hingga kepala didakwa sebagai satu penindasan, manakala yang lain cuba memahami logik yang tersirat di sebaliknya, sementara bakinya tidak mempedulikannya malah berpendapat penerimaan cara berpakaian hak individu.

Sesuatu pakaian boleh dikatakan fesyen atau tidak bukannya berdasarkan faktor negara semata-mata. Jika anda dari Afrika Barat, contohnya warna terang, pakaian panjang dan aneka hiasan lazimnya mendominasi fesyen pakaian.

Jika anda dari Pakistan, mungkin menjadi cantik dengan ‘salwar kameez’ (baju dan seluar yang longgar) yang ditakrifkan sebagai sentuhan menarik. Tetapi sekiranya anda mengenakan gaya berfesyen ekstrem dari Barat, norma atau kebiasaan yang perlu dibayar terlampau mahal harganya.

Beberapa tahun lalu, kita mendapati peningkatan bilangan remaja perempuan Islam mengenakan tudung untuk menutup kepala dan berpakaian dengan gaya sederhana.

Walaupun ia mungkin menjelakkan bagi golongan yang cenderung kepada ‘kebebasan’ dalam berfesyen, aliran itu semakin meningkat.

Ketika fesyen golongan lelaki tidak mendapat perhatian sebagai tajuk besar, fesyen wanita adalah sebaliknya mempunyai pengaruh kuat dalam hubungan sosial dan ekonomi.

Jika kita menyelidik lebih dalam, kita akan menemui sejumlah wanita Islam yang cenderung kepada pakaian sederhana.

Kita juga akan menemui wanita mengenakan tudung kerana pelbagai sebab dan alasan.

Di kebanyakan negara majoriti penduduknya Muslim, terutama negara Arab, transformasi kepada kesederhanaan berpakaian menunjukkan peningkatan dramatik beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda boleh terus menyelidiki senario ini, bilangan wanita memakai tudung kerana menjadi amalan masyarakat dari generasi ke satu generasi, wanita memakai tudung kerana sebahagian daripada fesyen atau mereka mengubah suai sehingga mewujudkan pelbagai gaya pemakaian tudung.

Kemudian, anda juga boleh menemui keseimbangan wanita yang mengutamakan kepercayaan agama, malah memahami kepentingannya dan oleh kerana itu memilih untuk memakai tudung.

Jika kita menoleh ke perbatasan Indo-Pakistan, ada kecenderungan berbeza dalam aspek ini. Pakaian wanita lebih sederhana, sama ada dengan ‘salwar kameez’ atau ‘sari’.

Tetapi di kalangan masyarakat Islam, wanita juga ada kelihatan tidak menutup kepala atau menutupinya secara acuh tidak acuh. Di sini mungkin ada alasan berbeza, tetapi secara asasnya menutup kepala secara sempurna adalah tanggungjawab beragama.

Adakah anda pernah bertanya pada diri anda. “Kenapa saya memakai pakaian begini? Adakah bagi mematuhi peraturan agama kerana pengaruh budaya atau sosial? Kemudian, apakah cita rasa cara berpakaian anda dipengaruhi agama yang anda anuti, kewarganegaraan anda, atau masyarakat anda? Apakah anda juga dipengaruhi aliran fesyen tempatan atau antarabangsa? Maryam, 19, dari Ghana, berkata jika mengikut budaya wanita di negaranya, mereka mengenakan pakaian panjang dan menutup kepala.

“Tetapi dengan semua yang berlaku seluruh dunia, kini saya mempunyai banyak persoalan dan mahu mengetahui agama lebih baik.

“Saya mula memakai hijab dan berasakan lebih banyak kebaikan mengenainya. Walaupun tiada yang ingin mendekati saya dan ini mungkin satu masalah, menutup kepala adalah tuntutan agama dan budaya. Saya memilihnya kerana tuntutan agama,” katanya.

Ruqayya, 22, dari Afrika Selatan, yang menggemari fesyen pakaian, berkata sebelum ini dia berpendapat aktiviti berfesyen bercanggah dengan agama.

“Tetapi sekarang saya tidak berfikir demikian. Saya percaya anda dapat memberikan komitmen kepada agama dan terus berfesyen, selagi anda memenuhi tuntutan syariat dan kod pakaian yang ditetapkan Islam.

“Hanya dua tahun lalu, saya mula berfikir mengenai hijab,” katanya yang sentiasa berpakaian sederhana (baju labuh dan berseluar atau berkain labuh).

“Saya mahu menutup rambut dan saya suka berbuat demikian dalam majlis tertentu. Saya tahu ia tidak sepatutnya dalam majlis tertentu. Bukan bermakna saya enggan memakainya, tetapi apabila saya mahu memakainya, saya mahu niat saya ikhlas,” katanya.

Huda, 16, dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), berkata: “Saya berfesyen untuk menarik hati.

Memang bukan begitu sepatutnya, tetapi saya hanya menjelaskan sikap jujur saya.” Dia bukannya mengenakan pakaian untuk menunjuknunjuk, tetapi dia memang suka kepada aksesori dan kelihatan anggun.

“Saya tidak kisah apa yang rakan saya fikir terhadap pakaian saya. Saya suka pujian dan berbual mengenai fesyen terbaru,” katanya.

Mengenai fesyen, secara langsung atau tidak, secara sedar atau tidak, orang akan sentiasa terpengaruh dengannya. Aliran fesyen bergerak pantas dan ramai remaja mendapati mereka tertekan apabila mahu menyesuaikan diri dengan gaya fesyen terkini.

Tetapi segelintir dapat menenangkan diri mereka daripada menghadapi kekalutan itu.

Ketika sesetengah memberikan alasan, fesyen membuatkan orang kelihatan anggun, sebaliknya ia juga boleh membawa masalah apabila ia mempengaruhi harga diri orang.

Penting untuk mengetahui alasan anda berpakaian sedemikian. Dengan cara itu, anda dapat menerima pilihan gaya anda dengan alasan munasabah.