Fesyen Tudung

Gadis menarik, menutup aurat

Oleh Noriah Idris
noriah@hmetro.com.my

BERKETRAMPILAN menarik penuh keanggunan, diserikan pula dengan tudung yang mempesonakan pasti menyerlahkan lagi gaya seseorang.

Pesona busana Muslimah bukan hanya ditandakan dengan pakaian sopan selain bertudung mahupun berselendang. Lebih daripada itu, berbusana sedemikian adalah tuntutan agama cuma ia disesuaikan dengan keadaan semasa.

Dalam aliran fesyen terkini, penampilan sedemikian bukan saja lebih menarik, malah ia kelihatan komersial dengan padanan warna mempesonakan. Bahkan ada yang melihat aliran itu agak eksklusif dengan motif bunga-bungaan mahupun corak lukisan yang menarik.

Pemilik koleksi busana muslimah ID Perempuan, Zaiton Alias, turut mengakui berbusana harus ditampilkan dengan gaya sopan yang boleh disesuaikan untuk sebarang majlis sama ada kasual mahupun rasmi.

“Gaya pakaian dan suai padan tudung harus diimbangi dengan etika yang sesuai dengan majlis dihadiri.

“Walaupun tiada etika meletakkan seseorang itu harus bertudung begitu dan begini, dalam perkembangan fesyen terkini, warna, corak dan motif yang ditampilkan diambil kira.

“Mereka yang pandai menyesuaikan warna pakaian dengan tudung akan tampak begitu eksklusif. Ini menunjukkan, warna dan gaya serta potongan yang dihasilkan memainkan peranan tersendiri dalam berfesyen.

“Apa yang penting, ciri sopannya tidak terpinggir daripada fungsi sebenar kerana berbusana adalah untuk menutupi aurat sebagaimana tuntutan Islam,” katanya.

Koleksi kepunyaan Zaiton Alias yang beroperasi di kediamannya sendiri di Damansara Heights, Kuala Lumpur ini sering diintip golongan kenamaan lantaran fesyen dikemukakan bercirikan tradisional dan kontemporari.

“Saya turut mengutamakan warna yang menjadi minat orang ramai. Ada yang mahukan warna sederhana dan lembut.

“Tidak kurang yang mahukan warna menyerlah dan kelihatan garang. Untuk itu, saya adunkan sepadan dengan warna tudung atau selendang dengan mengambil kira perkembangan fesyen semasa disesuaikan dengan aliran busana Muslimah.

“Ia penting kerana pencinta fesyen sentiasa mahukan kelainan dalam rekaan yang ditampilkan,” katanya.

Dia yang berpengalaman luas dalam koleksi busana Muslimah mengakui, fesyen berbusana hari ini menyaksikan perubahan dalam gayanya.

Leave a comment