Rubiah bangga terokai bidang andaman
Faktor itu juga yang mendorong Rubiah Mohamed, 46, berjinak-jinak dalam bidang andaman dan solekan, sehingga berjaya menubuhkan butik perkahwinan sendiri dikenali sebagai Butik Ruby, di Wilayah Jengka, Pahang.
Bahkan, dia tidak pernah menduga percubaan dalam bidang tersebut membuahkan hasil berikutan permintaan tinggi yang diterima terhadap aktiviti mengandam dan penyewaan pakaian pengantin.
Lebih mesra dengan panggilan Kak Rubi, dia mengakui, pada peringkat awal banyak cabaran terpaksa ditempuh termasuk kekurangan modal, tetapi semuanya dapat diatasi dengan baik, berkat kesabaran, kerja kuat dan semangat tidak pernah berputus asa.
Anak peneroka Felda Cempaka, Jengka Dua ini, memberitahu, Butik Ruby mula beroperasi pada tahun 2000.
“Perniagaan andaman dan solekan berpotensi besar untuk berkembang maju berikutan sokongan padu agensi kerajaan seperti Felda dan Mara bagi melahirkan ramai usahawan wanita,” katanya.
Dia amat menghargai sumbangan kedua-dua agensi kerajaan itu yangbanyak memberi dorongan dan peluang menimba pengetahuan dalam bidang keusahawanan.
Rubiah menjadikan bangunan di Unit 36-No 35, Nadi Kota, Bandar Jengka, sebagai premis utama operasi andaman, solekan, serta rawatan penjagaan wajah termasuk resdung untuk para pelanggannya.
Akuinya, selaku ‘Mak Andam’ dia sememangnya perlu memiliki banyak kemahiran sampingan seperti rawatan resdung, penjagaan wajah dan sebagainya yang menjadi keperluan pelanggan khususnya bakal pengantin.
Dengan modal permulaan sebanyak RM15,000, kini perniagaan yang diceburi berkembang maju hingga mampu membuka dua lagi cawangan di Arked Mara Jengka dan Felda Jengka Dua.
Kegigihan
“Cawangan di Arked Mara Jengka dikendalikan anak sulung saya, Roslina Othman yang memiliki diploma khas dalam bidang penyolekan dan andaman,” katanya.
Menurutnya, berkat kegigihan bersama anak-anak, nilai barangan khususnya pakaian pengantin dan peralatannya kini melebihi RM200,000 dan bersedia ditempah oleh warga Jengka pada bila-bila masa.
Set andaman dan pakaian pengantin moden dan tradisional yang ditawarkan bukan sahaja ditempah warga Jengka malah ada yang datang dari Temerloh, Lipis, Jerantut, Bera dan Kuantan.
“Semua pakaian pengantin tradisional kami jahit sendiri berasaskan cita rasa remaja masa kini yang menyukai corak dan rekaan tradisional,” katanya.
Di akhir pertemuan, Rubiah tanpa teragak-agak berkata, dia sentiasa bersedia mencurahkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang jahitan dan andaman yang dimilikinya kepada generasi baru Felda jika diperlukan berbuat begitu oleh Felda sendiri.
“Walaupun butik saya tidak begitu dikenali sebagaimana butik-butik lain di bandar-bandar besar, saya bangga kerana ia dibangunkan daripada titik peluh saya sendiri. Sekurang-kurangnya inilah khidmat bakti yang saya dapat tawarkan kepada penduduk-penduduk di sini,” katanya.