Fesyen Batik

Fesyen batik penuh berseni

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

(Harian Metro Online – http://www.hmetro.com.my)

MENARIK dan penuh berseni. Ungkapan yang boleh menggambarkan rekaan tujuh pereka tempatan pada majlis peragaan fesyen batik pereka Piala Seri Endon, di Kompleks Kraftangan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rekaan penuh kontemporari berkenaan memperlihatkan perkembangan menarik dalam industri fesyen tanah air di samping menonjolkan kreativiti pereka yang penuh berseni.

Tujuh pereka itu ialah Von Jolly, Karl Ng Kah Lang, Nizam Ambia, Micheal Shu, Suhairi Marlina, Nazari Maarus dan Masrina Abdullah.

Semua pereka berkenaan pernah memenangi pertandingan Piala Seri Endon dari 2003 hingga 2005, di samping menyertai pelbagai pertandingan rekaan fesyen yang lain.

Penonton dipersembahkan dengan 42 fesyen menarik iaitu enam rekaan bagi setiap pereka.

Pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004, Micheal Shu memperagakan rekaan terkininya iaitu sut punjabi, sari, baju kurung dan ceongsam.

Dia mengetengahkan konsep Malaysia Bersatu yang menggabungkan identiti masyarakat berbilang bangsa di negara ini dengan motif Cina, India dan Melayu.

Rekaan Micheal menggunakan 100 peratus sutera namun hiasan seperti labuci dan kristal Swarovzki yang bergemerlapan tidak dilupakan, menjadikan fesyen berkenaan antara paling mendapat tempat di hati penonton.

Fesyen kebaya menarik dengan kain leret ke belakang rekaan Nizam juga tidak kurang hebatnya. Fesyen kebaya hitam beropol di bahagian pergelangan tangan tetap praktikal untuk semua majlis.

Bertemakan Sarung Mempesona, Nazami tampil menyerlahkan kreativitinya menerusi rekaan menarik menggunakan batik sarung dengan motif rama-rama.

Pemenang Piala Seri Endon 2003, Masrina, tidak kurang hebatnya dengan menampilkan enam rekaan hebat bertemakan Misteri.

Sesuai dengan temanya, Masrina yang juga pemilik Ilham Cipta Handicraft, memberi penekanan pada pembentukan warna latar dalam rekaan bagi menyerlahkan motif batik pada fabrik.

Sementara itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri Timbalan Menteri Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datin Betty Lee Sau Leng.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang, Leela Mohd Ali; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdullah Abdul Rahman dan Pengurus Besar Karyaneka Kraf Boutique, Zuraidah Abdul Razak.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s