Tag Archives: : 04-9174232

Himpunan fesyen batik

Harian Metro

MINES Shopping Fair (The Mines) dengan sokongan Yayasan Budi Penyayang, menganjurkan Festival Batik Malaysia, Seni dan Kraf, di pusat beli-belah berkenaan baru-baru ini.

Biarpun julung kali diadakan, festival itu mendapat sambutan amat menggalakkan sama ada daripada penghuni premis perniagaannya, pereka fesyen dan pengunjung pusat belibelah terbabit.

Ia diadakan bagi memupuk minat masyarakat terutama generasi muda terhadap warisan negara di samping memberi didikan kepada pembeli untuk menghargai keistimewaan hasil kraftangan berkenaan dan memastikan seni warisan negara itu tidak ditelan zaman.

Festival bertemakan ‘Seni dan Kraf, Sebahagian daripada Kehidupan – Batik Malaysia’ itu turut dimeriahkan dengan peragaan himpunan terkini untuk lelaki dan wanita daripada beberapa pereka fesyen tempatan serta pertan dingan rekaan fesyen kreatif aksesori.

Antara yang menarik sepanjang festival itu ialah peragaan koleksi fesyen batik terkini daripada Quernia Collections, Pearly Collection, Micheal Shu, Khalid Batik, Barakaff Exclusive dan Von Jolly.

Himpunan Quernia Collections jelas menampilkan pelbagai idea segar serta praktikal dan tidak mustahil jenama berkenaan bakal menjadi sebutan sedikit masa lagi.

Pelbagai rekaan baru dapat dilihat sepanjang peragaan berkenaan namun fesyen tradisional seperti baju kurung dan kurung Kedah tetap tidak dilupakan.

Pemilihan warna terang se perti biru, oren, hijau dan merah jambu terang juga mempunyai tarikan tersendiri berbanding rona lembut. Himpunan itu kebanyakannya tidak lari daripada menggunakan motif bunga-bungaan yang jelas melatari keseluruhan rekaan.

Sementara itu, pertandingan rekaan fesyen kreatif aksesori berkenaan disertai 15 peserta.

Ia dimenangi Rico Rinaldi Tono yang mempertaruhkan koleksi bertemakan Goddess Goes to Florist.

Tempat kedua menjadi milik Muna Omar Farouk yang yang menghasilkan tas tangan bertema Japanese Obi Batik.

Rekaan kreatif, topi yang boleh ditukar menjadi beg kontemporari bertemakan The Wealth of Malaysia daripada Sia Tze Harn memenangi tempat ketiga.

Penganjuran festival berkenaan dilihat sebagai satu usaha baik dalam membantu kerajaan mempromosikan lagi warisan kraftangan negara.

Ia juga dapat dijadikan landasan terbaik bagi pereka tempatan untuk mengetengahkan rekaan masing-masing, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempromosikan kraftangan batik kepada masyarakat di negara ini serta meluaskan lagi penggunaannya.