Fesyen Artis

Tempahan Gaya Pos

Fesyen artis di malam AIM



SETIAP tahun majlis seperti Anugerah Industri Muzik (AIM), sering menjadi medan warga hiburan berkumpul dan meraikan kecemerlangan masing-masing dalam dunia hiburan.

Selain itu, pada majlis yang sama juga ia seolah-olah menjadi medan memperagakan fesyen oleh para artis. Tidak keterlaluan seperti gaya bintang Hollywood menghadiri majlis Anugerah Akademi.

Setiap yang hadir sememangnya inginkan yang terbaik pada malam itu. Mungkin ada antara mereka yang lebih awal menempah pakaian khas untuk AIM tetapi ada juga melakukan sedemikian di saat-saat akhir.

Malah ada antara artis yang rela menghabiskan wang ribuan ringgit semata-mata untuk kelihatan lebih menarik pada majlis istimewa seperti itu.

Demikian jugalah halnya pada majlis AIM yang berlangsung baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra. Majlis tersebut berlangsung dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dan meriah.

Di samping kegembiraan mereka meraih anugerah tidak kurang juga mereka yang gembira melihat teman-teman yang bergaya dengan fesyen yang sungguh indah sekali.

Malah ada juga artis yang menjadikan majlis tersebut sebagai medan untuk menampilkan imej terbaru mereka. Salah seorangnya mungkin artis Ning Baizura.

Pelbagai fesyen pakaian dipamerkan, ada yang mencerminkan budaya Timur dan bersopan. Tetapi ada juga yang ingin mempamerkan fesyen agak lain daripada yang lain, bukan untuk menarik perhatian semata-mata tetapi kerana keselesaan diri.

Artis Jadi Model

Apabila celebrity jadi model

Oleh Jamliah Abdullah

SEPETANG Bersama Bintang adalah acara baru dalam Minggu Fesyen Kuala Lumpur (MFKL) yang pernah dikenali sebagai Minggu Fesyen Rias Malaysia.

Ia masih mengenai fesyen terkini tetapi diperluaskan skop dengan pembabitan celebrity tempatan yang terdiri daripada pelbagai cabang glamor.

MFKL 2003 mengajak celebrity terbabit bukan sekadar menggayakan fesyen pereka terkenal tempatan tetapi memperagakan busana itu di pentas catwalk.

Puncak Menara Kuala Lumpur menjadi saksi apabila kebanyakan celebrity tersebut yang pertama kali mencuba bakat sebagai model catwalk.

Sepetang Bersama Bintang itu menyaksikan peragaan celebrity terkenal seperti penyanyi Fauziah Latif, Siti Sarah, Ella, Ezlynn, Siti Nordiana, Hetty Sarlene, Shafinaz, Waheeda dan Rem.

Begitu juga pelakon popular seperti Rosyam Noor, Juliana Banos, Sharifah Shahira dan Haslinda serta Maya Karin tidak ketinggalan.

Acara itu turut mengundang celebrity lain seperti Miss Malaysia Universe 2003, Elaine Daly, Miss Malaysia World, Carmen dan pengacara TV, Ngai Yuen.

Mereka menggayakan pelbagai koleksi terkini daripada pereka terkenal seperti Bernard Chandran, Bill Keith, Zang Toi, Carven Ong, Sharifah Kirana, Alvin Tang, Annie Ong, Suziana Mustafa, Justin Oh, Saiful dan Amin Jauhary.

Label pakaian tempatan popular daripada Euro Moda, Jarumas, Kapas Couture dan Etho turut digayakan pada acara tersebut.

Lupakan tentang karakter atau ketinggian yang menjadi elemen penting di pentas catwalk kerana peragaan fesyen artis terbabit tetap meraih tepukan gemuruh jemputan.

Apa yang ditampilkan adalah pelbagai tema dan gaya namun kebanyakan daripada mereka mengambil peluang untuk menggayakan gaun petang.

Penyanyi Shafinaz misalannya kelihatan anggun dalam gaun kuning yang seksi daripada Kapas Couture.

Begitu juga dengan Elaine dengan pakaian koktel yang ringkas daripada Justin serta Carmen dengan gaun hitam merah jambu daripada Annie Wong.

Penyanyi remaja, Hetty Sarlena buat pertama kali cuba merobah penampilannya dengan gaun serba hitam daripada tokoh Jarum Berlian 2002, Alvin Tang.

Jarumas pula berjaya menggayakan Sharifah Shahira dengan gaya ranggi yang menarik. Gaya gipsi itu sesuai dengan imej santai dan lasak penyanyi tersebut.

Begitu juga dengan pereka muda yang berbakat besar dan juara Anugerah Jarum Berlian 2002, Saiful tidak kalah apabila dia mencipta pakaian untuk penyanyi Siti Sarah.

Kolaborasi antara bintang dan pereka fesyen seperti itu mungkin bukan sesuatu yang baru. Sejak kebelakangan ini memang bertambah erat di karpet merah banyak acara glamor.

Mungkin itu sebab utama acara tersebut dimasukkan dalam jadual minggu fesyen kerana ia juga sebahagian daripada Warna-Warna Malaysia yang menjadi tema MFKL 2003.

Sebagai pesta fesyen yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pereka tempatan dan peminat fesyen, Sepetang Bersama Bintang adalah inisiatif penganjur iaitu majalah fesyen Rias untuk memeriahkan acara tersebut.

Acara yang berlangsung daripada 1 Ogos itu sebelum ini menyaksikan pelbagai agenda menarik dan cukup berguna untuk khalayak fesyen.

Pada malam ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan berlangsung acara kemuncak MFKL 2003 yang menjanjikan peragaan lebih hebat daripada pereka Bernard, Datin Sarimah Adzrina, Radzuan Radzwill, Eric Choong dan Justin Oh.

MFKL 2003 tahun ini dijayakan dengan kerjasama DHL bersama Estee Lauder dan Euro Moda.

Lokasi berlangsung pelbagai acara tersebut ditaja oleh Maju Junction, Menara Kuala Lumpur, Suria KLCC dan PWTC.

Acara itu juga turut disokong oleh Sekretariat Mega Sale, Universiti Teknologi Mara dan Malaysia Designer Association (MODA).

http://www.utusan.com.my

Fesyen Berjenama

Trauma Awal Ashaari

Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

BIJAK berfesyen, Awal kini mengendalikan program W yang menyingkap mengenai fesyen artis wanita.


PERNAH menjuarai French Connection United Kingdom (FCUK), Model Search Malaysia 2004 serta Most Eligible Bachelor 2005, jejaka kacak ini terus dilabel sebagai lelaki metroseksual.

Bertitik tolak daripada itu, dirinya kian popular serta laris di pasaran dalam mewarnai dunia seni hiburan tempatan.

Bermula sebagai penyampai anugerah di beberapa majlis anugerah seperti Festival Filem Malaysia, Asian TV Awards Singapore dan Anugerah Skrin, dia kemudiannya dilamar untuk menjadi pengacara serta pelakon.

Dalam dunia lakonan, jejaka berusia 27 tahun ini pernah muncul menerusi drama antaranya Cinta Medik, Impak Maksima The Series dan Impian Ilyana selain filem Diva, I’m Not Single serta Apa Kata Hati?.

Petah berkata-kata, dia kemudiannya diberi kepercayaan untuk menjadi hos bagi program realiti One In A Million, Generasi Y dan terbaru, W.

Begitulah popularnya empunya diri bernama Ahmad Awaluddin Ashaari atau lebih dikenali dengan panggilan Awal.

Namun, di sebalik peningkatan popularitinya serta label metroseksual yang melekat dalam dirinya, Awal kini bagaikan trauma.

Mana tidaknya, memegang status itu, dia harus menjaga penampilan dari hujung rambut ke hujung kaki dengan fesyen terkini dan sudah tentunya berjenama serta mewah.

Mengakui puas andai seluruh badan bermandikan fesyen berjenama, Awal akhirnya sedar.

“Memang ada kepuasan jika memiliki barangan mewah dan berjenama tetapi jika kita asyik memikirkan tentang itu, kita boleh ‘mati’.

“Satu ketika dahulu, saya amat fanatik terhadap pakaian berjenama sehinggakan berhabis banyak duit.

“Hampir-hampir saya hidup merana gara-gara mengejar status mewah,’’ katanya ketika ditemui di majlis pelancaran program W, Maria dan Icip-Icip terbitan TV3 di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

W akan dihoskan oleh Awal, manakala Maria dan Icip-Icip pula masing-masing oleh Maria Tunku Sabri dan pendatang baru, Anis Nabilah Umaruddin.

Menyambung bicara mengenai jenama, Awal kemudiannya menjelaskan kini hidupnya semakin bahagia apabila mengubah stail hidup.

“Sekarang saya tidak fikirkan sangat soal memilih pakaian berjenama kecuali tiga benda iaitu kasut, jam dan beg.

“Apa yang saya nampak elok walaupun murah, saya akan beli. Kadang-kadang, pakaian yang murah akan nampak eksklusif jika kita pandai menggayakannya.

“Untuk itu, kita perlu jadi seorang yang kreatif,’’ jelas anak kelahiran ibu kota ini lagi.

Bila Awal bicara mengenai fesyen wanita

Menyentuh mengenai fesyen, baru-baru ini Awal dilamar TV3 untuk mengendalikan sebuah rancangan berjudul W.

Uniknya, program terbaru yang bersiaran setiap Rabu, pukul 11.30 pagi itu akan menyingkap perkembangan semasa selebriti dan ikon wanita dalam industri hiburan. W turut membongkar fesyen terkini kalangan artis wanita.

Ditanya mengenai pembabitannya terhadap fesyen wanita, Awal berkata: “Memang ada yang mempertikaikan apakah saya mampu mengacarakan program bercorak fesyen wanita.

“Sebenarnya, dalam W, saya tidak akan komen apa-apa mengenai fesyen wanita. Semuanya akan dikomen oleh pakar.

“Saya memang minat fesyen. Pengalaman menjadi hos red karpet (karpet merah) dalam banyak acara telah memberi saya banyak input mengenai fesyen terutamanya fesyen wanita.

“Saya juga banyak berkenalan dengan pereka fesyen. Dari situ, saya belajar dan ia membantu saya mengacarakan W,’’ katanya.

Awal dan Mannequeen

Menurut Awal, ekoran minatnya terhadap dunia fesyen, dia dan beberapa lagi rakan kongsi sudah pun memulakan perniagaan pakaian dan aksesori berkonsepkan butik secara online.

Menggunakan label Mannequeen, butik online itu menjual segala barangan seperti pakaian, jam, kasut dan beg.

“Dari harga serendah RM30 hingga RM130, orang boleh membuat pesanan dengan melayari http://www.mannequeenclothing.blogspot.com.

“Segala pakaian dan aksesori itu dibeli ketika saya dan beberapa lagi rakan kongsi melancong ke luar negara seperti Bangkok, China dan Hong Kong.

“Idea mewujudkan butik online hadir daripada peminat yang amat menggemari apa sahaja yang saya minat dan pakai.

“Dari situ, saya akan membeli pakaian yang saya minat di luar negara dan jual menerusi butik online itu,’’ katanya.

Berlakon bersama bintang Filipina

Selain menjadi hos W dan Generasi Y, awal bakal mencipta nama di Filipina apabila ditawarkan berlakon menerusi drama bersiri The Gangster’s Daughter arahan Gilbert Perez.

Apa yang membanggakan Awal juga ialah dia akan bergandingan dengan dua pelakon popular Filipina iaitu Kristine Hermosa dan Jericho Rosales.

Pengambaran drama berkenaan akan bermula 4 April di Malaysia dan Filipina pula sekitar Jun depan.

“Drama bersiri ini akan ditayangkan di RTM dan sebuah stesen televisyen di Filipina. Drama ini menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Tagalog,’’ katanya.

Ujar Awal, pembabitannya dalam drama itu merupakan peluang keemasan baginya untuk mencipta nama serta mempelajari teknik lakonan dari dua pelakon ternama iaitu Kristine dan Jericho.

“Saya rasa amat kecil jika hendak dibandingkan dengan mereka berdua. Umum ketahui yang mereka adalah pelakon hebat.

“Saya akan buat yang terbaik dan akan mengaut seberapa banyak ilmu dengan mereka serta pengarah di sana,’’ tambahnya.

Vest

Vest ubah fesyen lelaki untuk wanita

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my

vest

GAYA pentas peragaan, ves berlabuci sesuai untuk gaya glamor.

Pakaian tanpa lengan dipelbagai kegunaan sesuai sepanjang zaman

MELIHAT selebriti popular menggayakan vest membuatkan timbul keinginan anda untuk bergaya sama. Namun, masalahnya anda tidak tahu cara menyuai padan vest supaya gaya tidak kelihatan seperti wanita ketinggalan zaman.

Gaya vest mula diperkenalkan ketika era 80-an atau awal 90-an. Sebenarnya, ia sesuai sepanjang zaman malah boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian majlis yang dihadiri. Jika kena gaya, anda boleh tampil santai apabila mengenakan vest yang dipadankan bersama jeans.

Apa yang perlu dilakukan adalah kebijaksanaan memilih fabrik sama ada baldu, taffeta (kain sutera tipis berkilat tetapi agak keras sedikit), sequin (labuci) dan satin bagi menyuntik elemen feminin dalam fesyen yang diinspirasi daripada gaya pakaian lelaki itu.

Vest antara busana suai padan yang pelbagai guna. Bentuknya yang lurus mampu menyerlahkan tubuh gadis yang berbadan pipih. Ia juga boleh digayakan sama ada dengan butang yang terkatup sepenuhnya atau disarungkan begitu saja.

Keberanian mampu menjawab segala persoalan. Bagaimanapun, bagi wanita yang mempunyai tahap keyakinan yang rendah, mereka mungkin beranggapan menggayakan vest yang digandingkan bersama pakaian pejabat atau pakaian kasual kelihatan seperti berlebih-lebih.

vest

Lontarkan segala persoalan yang bermain dalam fikiran anda. Lihat bagaimana revolusi fesyen mengubah gaya vest era baru kelihatan lebih sederhana dan feminin.

Potongan baru yang dibuat lebih neutral membuatkan vest kelihatan sebati dalam gaya malah mampu membuatkan banyak mata memandang.

FAKTA: Bagi membuatkan anda yakin untuk menggayakan vest, beberapa tip boleh dijadikan panduan ketika mengenakannya.

  • Jika anda rasakan gaya vest seperti kolot, fikir perkara itu sekali lagi. Vest yang dibiarkan tanpa berbutang apabila digayakan bersama blaus lengan pendek dan juntaian rantai sepadan mampu membuatkan anda kelihatan menarik dalam gaya Bohemian.
  • Pilihan vest bersama kemeja putih dan tie bercorak ranggi mengubah gaya menjadi rock glam. Ia sesuai digayakan wanita berkecimpung dalam kerjaya yang tidak terikat dengan protokol.
  • Vest sendat dipadankan dengan singlet tanpa lengan berwarna putih, digandingkan bersama seluar berkaki tirus (skinny pants). Membuatkan anda kelihatan penuh gaya ketika keluar bersama rakan atau menghadiri parti pada malam hari.
  • Vest juga boleh disarungkan terus tanpa padanan blaus. Bagaimanapun, pastikan potongan vest tidak terlalu terbuka kerana jika tidak, gaya anda pasti kelihatan murah sekali gus mengundang umpatan orang.
  • Bergaya ranggi dengan vest. Buktikan gaya kelelakian boleh dipelbagaikan menjadi lebih kewanitaan.

INFO:

Vest berasal daripada perkataan Perancis iaitu veste. Di Itali ia dikenali sebagai vesta dan Latin adalah vestis. Ia merujuk kepada pakaian tanpa lengan yang dipakai lelaki bersama kot dan diperkenalkan Raja England, King Charles II.

Jenis Fabrik

Fabrik berat sesuai tubuh tak seimbang

design baju kurung

Corak bunga halus diganding dengan pilihan warna terang mampu sembunyikan kekurangan

Soalan:
Saya mempunyai bahu yang lebar. Saya cemburu melihat rakan-rakan boleh membeli apa saja jenis baju siap tetapi tidak bagi saya kerana memiliki saiz tubuh 38,35,35 dan agak bongkok. Untuk ke pejabat saya suka berbaju kurung pesak tetapi ia kelihatan seperti jubah kerana bahagian bawahnya terlalu longgar. Apabila berseluar panjang ia nampak hodoh kerana saya mempunyai kaki kecil. Apa patut saya buat?

Norizan Ahmad
Kuala Terengganu, Terengganu.

Jawapan:
Berdasarkan gambaran bentuk tubuh anda, saya akui memang menjadi masalah untuk membeli pakaian siap. Berdasarkan ukuran badan itu ada beberapa faktor perlu dititik beratkan sebelum memilih pakaian sesuai.

Dari segi fabrik, mereka yang mempunyai tubuh dikira tidak seimbang perlu memilih jenis berat. Ini bermakna jangan memakai pakaian yang kainnya ringan, nipis dan jarang kerana fabrik jenis ini lebih menampakkan bentuk badan yang tidak seimbang. Jika memakai fabrik berat maka lebih mudah menutup bentuk tubuh badan. Contoh jenis satin, viscose dan ‘super crepe’.

Perlu diingat dengan penggunaan fabrik berat, apabila dibuat potongan besar sekalipun ia nampak terletak pada tubuh badan. Namun, fabrik berat bukannya dari jenis kain keras.

Reka corak pada fabrik pula terpulang kepada si pemakai, adakala corak bunga besar nampak anggun jika susun letaknya sesuai dengan tubuh seseorang itu. Jika mahu selamat dinasihatkan menggunakan corak bunga halus.

Penggunaan warna pula tidak semestinya gelap kerana kita kena ingat fabrik yang dipilih perlu menampakkan keseimbangan tubuh si pemakai yang mempunyai masalah potongan badan tidak seimbang.

Warna terang juga ada kalanya memberi cita rasa baru kepada si pemakai jika ia sesuai pada keadaan dan situasi.

Potongan lurus atau ‘straight cut’ penting untuk pemilihan seluar yang hendak dipakai kerana ia dapat memberi keseimbangan kepada bentuk tubuh si pemakai. Blaus pula perlu menutupi bahagian punggung dan tidak terlalu labuh dan digalakkan penggunaan fabrik yang tidak terlalu lembut.

Sehubungan itu, Norizan tidak perlu berasa cemburu melihat rakan bila bergaya sebaliknya anda perlu lebih menekankan kepada fabrik, potongan dan warna yang akan menjadikan anda lebih yakin pada penampilan diri sendiri.

Baju Pengantin

Badan gempal sesuai fabrik lembut

Soalan

Saya berusia 26 tahun dan akan berkahwin hujung tahun nanti. Saya mempunyai masalah untuk menyesuaikan pakaian pengantin di majlis saya nanti. Saya juga mempunyai warna kulit yang sedikit gelap. Ketinggian saya 152 sentimeter dengan berat 70 kilogram, mempunyai potongan badan yang gempal di bahagian pinggul. Ukuran dada 38 sentimeter (sm), pinggang 33 sm. Harap saudari dapat membantu melakarkan fesyen bersama warna sesuai untuk saya. Terima kasih.

Miss Roxy, melalui emel.

Jawapan

Mempunyai bentuk badan yang tidak seimbang menyebabkan saudari perlu berhati-hati ketika bergaya. Paling utama adalah bijak ketika memilik fabrik, corak dan warna sesuai.

baju pengantin, artis malaysia, hantaran perkahwinan,

LAKARAN untuk pengantin berbadan gempal dan rendah.

Fabrik sesuai untuk mereka yang berdepan masalah sebegini adalah fabrik lembut dan jatuh cantik serta terletak di badan pemakai. Jenis fabrik yang dicadangkan adalah seperti sifon dan renda Perancis. Elakkan mengenakan kain keras seperti songket dan sutera Thai.

Rekaan pula tidak perlu terlalu sarat. Memadai rekaan yang ringkas seperti kurung moden bagi memberi ilusi tubuh yang tinggi dan kurus.

Lakaran yang disediakan adalah antara rekaan yang sesuai untuk saudari. Fabrik digunakan adalah sifon bersulam manik. Manik yang berat pada kain akan jatuh cantik mengikut bentuk badan. Pilih corak bunga kecil atau sederhana atau mendatar.

Serlahkan mewah busana pengantin anda dengan gandingan fabrik ‘French lace border’ pada lengan, bawah baju dan hujung kaki. Di bahagian atas badan iaitu di leher baju, susun aturan kristal swaroski dan manik jemeki untuk mengalih tumpuan pada bahagian atas badan. Kerlipan kristal juga mampu menaikkan seri baju pengantin.

Padanan kain pula haruslah dalam potongan ‘slim cut’ bagi memperlihatkan ilusi tinggi pada mereka yang berbadan besar. Manakala tail (ekor) di belakang kain memberi kelainan pada rekaan.

Pilih layah yang tidak terlalu labuh iaitu sekadar melepasi bahu sedikit. Layah pula tidak perlu terlalu mewah dengan lapisan yang bertingkat. Disarankan hanya sekadar satu lapis saja. Layah bertingkat akan memberi impak badan lebih besar.

Bahagian tangan juga berpotongan ‘slim cut’ supaya nampak lebih kemas. Manakala warna yang sesuai untuk mereka yang berkulit sawo matang adalah kuning air untuk menambahkan seri.

Dipetik daripada :

http://www.bharian.com.my/

Gabungan hitam, kelabu sesuai kulit hitam manis

Link : Tutorial mejahit Baju Gaun Percuma

baju kurung, baju pesak gantung, artis melayu, artis malaysia, pakaian artis

LAKARAN pereka fesyen untuk wanita bertubuh gempal dan rendah.

Soalan

Saya wanita berusia 23 tahun mempunyai masalah kulit yang kusam, tona tidak sekata serta sensitif. Saya mempunyai saiz badan yang agak besar dan rendah. Saya ingin bergaya seperti orang lain tapi malu untuk memakai baju yang agak ketat. Saya juga ingin tampil bergaya dan selesa ketika ke pejabat atau ketika bersiar-siar. Apa harus saya lakukan? Terima kasih.

Sumarni Jumarding,
Melalui emel


Jawapan

Kelebihan mereka yang berbadan besar dalam berpakaian adalah apabila mereka dapat bermain dengan warna gelap dan corak berjalur sesuai dengan rekaan, gaya, pekerjaan dan juga personaliti pemakai.

Namun, tanggapan lama yang menyatakan bahawa pakaian berwarna gelap hanya sesuai dipakai ketika berkabung atau memberi ekspresi murung, sedih dan ganas tidak boleh lagi diguna pakai.

Ini kerana masyarakat sudah mula bersikap terbuka dalam menentukan pilihan warna pakaian. Malah, mereka juga menitik beratkan soal rekaan dan stail pakaian untuk tampak berbeza serta menonjol.

Rekaan jaket berpotongan paras pinggul dengan corak fabrik jalur menegak mampu memberikan kelangsingan dan memberi impak tinggi pada mereka yang berbadan besar dengan ketinggian sederhana.

Saiz lepel (kolar) jaket sederhana besar dan potongan lengan padanan rata boleh membantu mengelakkan tubuh kelihatan bertambah besar. ‘Princess line’ pula dibuat supaya dapat memberikan bentuk pada tubuh terutama bagi mereka yang mempunyai masalah bentuk badan lurus. Potongan ‘cuff’ pada bahagian hujung lengan yang bersaiz lebar dan tirus boleh memberikan kelainan.

Fabrik corak berjalur bersaiz sederhana tebal sangat sesuai digunakan untuk membuat jaket berpotongan dan boleh dipakai secara formal mahupun kasual. Gabungan warna seperti hitam dan kelabu pada jaket masih boleh memberi impak menjadikan kulit kelihatan cerah dan segar. Untuk tampak lebih yakin, sapuan solekan bersesuaian mampu menaik seri wajah.

‘Tube’ yang dipakai bersama jaket dan padanan kain separa kembang dari warna hitam polos dapat menampilkan gaya elegan. Fabrik yang disarankan adalah dari jenis elastik atau ‘bias-cut’ kerana ia boleh memberikan keselesaan sekali gus mencipta bentuk pada tubuh.

Pemilihan barang kemas tidak perlu terlalu sarat. Jika ingin tampil bergaya dan anggun, tambah aksesori pelengkap seperti tali pinggang dan kasut pilihan warna sedondon.