Category Archives: Perkahwinan

Gubahan Perkahwinan

Gubahan hantaran penyeri perkahwinan

Oleh MERAN ABU BAKAR

DALAM majlis perkahwinan Melayu, hantaran antara perkara penting yang perlu ada. Pada majlis bersejarah itu, lazimnya pengantin lelaki dan perempuan akan saling berbalas hantaran.

Mengikut adat, jumlah hantaran mestilah ganjil, contohnya lima, tujuh, sembilan, sebelas dan seterusnya. Balasannya juga perlu diadakan dalam angka ganjil.

Hantaran, yang boleh dianggap sebagai hadiah kepada pasangan masing-masing akan dibuat beberapa hari lebih awal. Pelbagai gaya kreatif dilihat dalam menggubah sesebuah hantaran.

Pada masa kini, kebanyakan memilih warna tema tertentu bagi majlis perkahwinan mereka termasuk daripada segi warna hantaran, pelamin, bilik pengantin, pakaian keluarga, warna khemah dan sebagainya.

Hantaran sememangnya sebagai penyeri sesuatu majlis perkahwinan. Selain keluarga, tetamu yang datang biasanya teringin untuk melihat hantaran pengantin.

Rooslina Bakar, 43, yang berkebolehan membuat hantaran sejak remaja, sebenarnya sukakan kelainan bagi setiap hantaran yang dibuatnya.

“Saya gemarkan sesuatu yang berbeza dan berkonsep moden,’’ jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Menurut guru sebuah sekolah menengah ini, membuat hantaran hanya sebagai hobi dan bukannya sebagai pendapatan, namun jika ada kawan-kawan yang meminta tolong dan kebetulan mempunyai masa lapang, beliau tidak menolak.

Konsep

“Biasanya saya akan tanya konsep warna yang mereka kehendaki dan berapa bajet mereka. Kemudian saya akan buat rekaan hantaran dan jika mereka setuju, barulah saya akan laksanakan keseluruhannya.

“Rekaan hantaran terkini adalah yang berkonsepkan kristal menggunakan bunga-bunga hiasan yang saya buat sendiri daripada kristal tiruan,’’ katanya yang tidak menggemari hantaran sarat dengan hiasan atau terlalu banyak jumlahnya .

Tambahnya, bunga memainkan peranan penting dalam mengindahkan hantaran. Tidak kira bunga hidup atau bunga tiruan, pemilihan bunga yang sesuai, tahan lama dan cantik harus diambil kira.

Menurut Rooslina, biasanya beliau lebih suka memilih beberapa jenis bunga bagi gubahan yang dibuatnya seperti bunga mawar, orkid, peacock, lily dan dicampur dengan daun-daun pakis yang hijau.

“Dengan bunga-bunga yang cantik, hiasan sesebuah hantaran tidak perlu sarat. Ia tampak ringkas dengan bunga sebagai penyeri hantaran.

“Selain itu, alas dulang juga penting. Alas dulang cantik jika dibuat daripada kain renda, organza, satin atau sutera kerana jenis kain yang lembut akan membuatkan alas dulang ‘jatuh’ dengan cantik.

“Jika ingin lebih nampak menarik, jahitkan manik, kristal atau permata tiruan. Bagi sesebuah hantaran, gandingan dulang hantaran, alas dulang dan hiasan harus sepadan dan seiring,’’ jelas Rooslina yang juga pakar membuat kek perkahwinan fondant dan sering mendapat tempahan daripada pihak hotel, dewan dan orang perseorangan.

Malaysia Newspaper Utusan Malaysia – http://www.utusan.com.my/

Andaman Perkahwinan

Rubiah bangga terokai bidang andaman