Category Archives: nilai 3

Nilai 3

Made in China di Nilai 3

Oleh: NUR AZWA IBRAHIM

NILAI 25 Jan. – Salah satu destinasi yang sering dituju oleh warga kota pada hujung minggu ialah Nilai atau lebih tepat lagi Pusat Jualan Borong Nilai 3.

Ini kerana selain lokasinya yang tidak jauh dari Lembah Klang, ia juga menawarkan pelbagai jenis barangan terutama barangan perhiasan rumah, perkakasan dapur dan permainan kanak-kanak.

Namun, di sebalik kepopularan tempat itu di kalangan orang ramai, peniaga dilihat cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan barangan berkualiti rendah.

Apabila barangan berkualiti rendah, harganya juga sudah tentu lebih rendah dan bagi kebanyakan peniaga, kualiti tidak menjadi keutamaan asalkan harganya rendah kerana ia memudahkan jualan.

“Mari, mari. Barang murah, harga boleh runding. Pilih-pilih,’’ sapa seorang peniaga warga asing dengan loghat negara asalnya kepada penulis sebaik sampai di sebuah kedai menjual permaidani di Nilai 3, baru-baru ini.

“Ini kualiti baik, harga RM300. Tapi kalau adik mahu harga murah, saya ada karpet dari China, harga RM100 sahaja,’’ katanya.

Itulah situasi yang sering dihadapi oleh pengunjung-pengunjung di pusat jualan borong itu, yang semakin menjadi tumpuan ramai.

Walaupun pelbagai jenis barangan seperti pakaian, perkakasan dapur, barangan perhiasan, perabot dan permainan kanak-kanak boleh diperoleh pada harga yang menarik tetapi tanpa disedari, kebanyakan barangan tersebut diimport dari China.

Tinjauan Utusan Malaysia di pusat jualan yang menjadi tumpuan ramai itu mendapati hampir kebanyakan barangan di situ mempunyai tulisan ‘Made in China’.

Tidak kiralah sama ada pakaian kanak-kanak, karpet, bingkai gambar, kain, barang perhiasan dan tidak lupa permainan kanak-kanak.

Tidak diragui, China mampu menghasilkan pelbagai jenis barang dengan harga yang murah disebabkan faktor tenaga buruh dan bahan mentah yang murah tetapi peniaga tidak sepatutnya berkompromi soal kualiti.

Kebanyakan peniaga yang ditemui berkata, mereka memilih barangan dari China kerana ia jauh lebih murah daripada barangan negara lain.

Seorang peniaga kain yang hanya mahu dikenali sebagai Abid berkata, kesemua kain yang dijualnya adalah diimport dari China.

Katanya, ada peniaga yang mendakwa sesetengah jenis kain yang mempunyai kualiti yang bagus diimport dari Itali dan Korea, namun realitinya ia berasal dari China.

“Barang buatan China boleh diperoleh dengan harga lebih murah iaitu hampir separuh daripada barangan buatan negara lain.

“Oleh sebab itu, ramai peniaga yang memilih untuk mengimport barangan dari China untuk mendapatkan keuntungan yang lebih,’’ katanya yang sudah tiga tahun berniaga di situ.

Seorang peniaga barangan perhiasan dari Sarawak yang enggan dikenali berkata, terdapat peniaga terutama warga asing yang meniru rekaan barangan di kedainya dan meminta pengilang dari China membuatnya.

“Memanglah dari segi fizikal ia kelihatan sama, namun kualitinya tidak terjamin.

“Walaupun barangan yang dijual peniaga warga asing lebih murah, tidak bermakna ia berkualiti tinggi kerana mereka hanya meniru rekaan tetapi jenis bahan yang digunakan mungkin kurang berkualiti,’’ katanya.

Apa yang mendukacitakan peniaga tersebut ialah, harga yang dijual oleh peniaga warga asing terutamanya tidak banyak bezanya dengan apa yang dia tawarkan.

Dia menceritakan pengalamannya tentang seorang pelanggan yang telah membeli tikar Sarawak daripada peniaga warga asing dan datang ke kedainya untuk membuat perbandingan.

“Jika dilihat daripada mata kasar memang tiada kelainan, namun saiz dan jenis buluh yang digunakan adalah berbeza.

“Pelanggan itu menyesal tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada apa-apa jaminan daripada peniaga tikar yang dibelinya,’’ katanya.

Walaupun kesalahan dilihat terletak pada peniaga yang menjual produk tiruan itu, namun pembeli juga wajar disalahkan kerana lebih mementingkan harga daripada kualiti barangan.

Apa pun yang terjadi, semuanya bergantung kepada kehendak pengguna sendiri sama ada menginginkan produk yang asli ataupun memilih produk tiruan.

Namun, mereka perlu ingat bahawa permintaan yang tinggi terhadap produk murah dari China ini boleh menjadikan negara ini sebagai tempat lambakan barangan tidak berkualti.

Tepuk dada tanya selera!

Utusan Malaysia : http://www.utusan.com.my