Category Archives: Fesyen Terbaru

Fesyen Terbaru

Dipetik dari Harian Metro

CERIA dan bergaya. Itulah dapat disaksikan menerusi koleksi fesyen daripada beberapa jenama terkenal di Metrojaya sempena Tahun Baru Cina. Biarpun sarat dengan imej tradisional, kebanyakan koleksi tidak menyuntik elemen moden.
Fesyen ceongsam klasik masih menjadi keutamaan wanita untuk digayakan, antaranya koleksi terbaru Emanuelle.

Rekaan ceongsam klasik bersama fabrik jacquard berbunga cetak atau sulaman berwarna-warni sarat dengan unsur tradisional masyarakat Tionghua.

Fesyen itu turut dihiasi kolar Mandarin dan butang katak yang memberi gaya baru berfesyen.

Jika memilih melaram dengan fesyen moden pada hari perayaan nanti, himpunan terbaru daripada Passages, East India Company dan Somerset Bay, boleh dijadikan pilihan.

Himpunan terbaru Passages banyak menampilkan unsur kehidupan masyarakat Cina di samping menyelitkan elemen Jepun seperti motif bunga sakura dan fesyen kimono.

Elemen masyarakat negara matahari terbit berkenaan juga boleh didapati pada koleksi terbaru East India Company.

Menampilkan pelbagai warna ceria seperti merah jambu, hijau, oren dan coklat, himpunan itu menggunakan fabrik kombinasi linen, sutera sifon serta kapas lembut bersulam menarik.

Jenama terkenal itu menyediakan rekaan blaus ala kimono, gaun kapas, skirt paras lutut dan celana panjang.

Koleksi Somerset Bay pula masih menyelitkan unsur tradisi sekalipun menggunakan imej moden penuh glamor.

Gabungan budaya Timur dan Barat jelas kelihatan pada rekaan ceongsam dan qi pao.

Untuk si kecil, himpunan terbaru daripada Monica Queen dan East India Company memang menarik.

Antara rekaan yang boleh dicuba ialah baju qi pao yang digayakan bersama seluar denim, blaus kapas bercorak, skirt bersulam, kemeja dan celana panjang.