Monthly Archives: May 2008

Jaket Muslimah

Ibu muda bertudung

Oleh MERAN ABU BAKAR

Jaket polos gelap lazim menjadi pilihan wanita Muslimah.

SIAPA kata apabila sudah bergelar ibu tidak boleh bergaya seperti ketika masih anak dara. Biar apa pun statusnya, sebagai wanita penampilan perlu diambil kira terutama dari segi pemilihan pakaian.

Malah, dalam fesyen tidak ada istilah pakaian untuk bujang atau orang sudah berkahwin. Apa yang penting kesesuaian dengan imej yang mahu ditampilkan.

Bagi ibu muda berkerjaya yang lebih senang mengenakan tudung ke pejabat, pilihan fesyen untuk mereka kini semakin pelbagai.

Sememangnya, penampilan yang menarik dan bersesuaian dengan kerjaya akan membuatkan langkah yang diatur ke pejabat lebih berkeyakinan.

Misalnya, jaket panjang yang dikenakan bersama seluar atau jean potongan lurus ini mungkin serasi dengan pilihan ibu-ibu muda yang mempunyai kerjaya memerlukan mereka sentiasa aktif.

Pakaian sebegini lazimnya menjadi pilihan utama wanita atau ibu muda yang bertudung kerana bajunya labuh menutupi punggung.

Fesyen sebegini yang biasanya digayakan oleh wanita Muslimah dari negara-negara Arab, kini semakin meluas digayakan oleh wanita Malaysia kerana aspek keselesaannya.

Dibuat daripada jenis kain kapas, kapas spandex, linen atau denim, ia selesa dipakai di negara ini.

Terdapat banyak pilihan warna sama ada warna terang seperti merah cili, merah pulasan, jingga, kuning telur dan ungu. Bagi yang kurang menggemari warna terang, pilihlah warna-warna tanah seperti coklat atau krim.

Juga ada pilihan warna hijau askar, khaki dan sudah semestinya hitam yang menjadi pilihan ramai wanita kerana ia warna eksklusif dan sesuai dipakai pada majlis-majlis korporat.

Biarpun berpotongan ringkas, elemen butang-butang besar, lisu nipis, sulaman ringkas dan tali yang diikat di pinggang memberi identiti tersendiri kepada jaket panjang ini.

http://www.utusan.com.my

Kombinasi Warna

Kombinasi warna gaya baru

ADA masanya anda berasakan hiasan bilik terlalu ‘sempurna’ dan memerlukan sedikit sentuhan yang agak berlainan yang menyentuh impian dan fantasi.Kata kunci tahun ini adalah kontras. Inspirasi bagi warna-warna rumah tahun ini datangnya daripada alam semula jadi yang cantik dan ceria – seterusnya menikmati warna moden dengan titipan enamel hitam dan tekstur putih.

Tema hitam dan putih memang sesuai untuk hampir semua ruang dan d mudah disemarakkan lagi dengan warna-warna terang seperti merah, biru, hijau ataupun jingga. Presint HOME di Pavilion Kuala Lumpur, menampilkan aliran baru anggun bergaya untuk membuka minda pada tema-tema dan idea-idea yang cukup hebat.

Serlahan EtnikBerkemungkinan aliran yang sering menjadi bahan bualan ramai adalah warna-warna yang lahir daripada inspirasi percutian. Sesetengah pemilik rumah kini menginginkan suatu kelainan kerana sudah berasa bosan dengan warna-warna cerah. Oleh itu, mereka lebih cenderung memilih warna yang lebih gelap yang mengingatkan mereka pada destinasi nun jauh lagi eksotik.

Pelet ini mengambil inspirasi daripada tona-tona batu permata indah dari Timur atau warna-warna yang menyerlah dari pasar harian Asia atau Maghribi. Warna-warna utama etnik merangkumi merah -ungu, perang dan kuning gelap termasuk warna hitam arang dan putih gading.

Nyatakan juga diri anda melalui sebuah lukisan. Ode To Art membawakan kepada anda pelbagai seni lukisan yang indah mata memandang. Imej seperti Blossom by Fan, lukisan cat minyak dengan warna-warna menyerlah, amat perlu untuk ruang tamu yang luas.

Hasil kerja seni ini memang sesuai dalam ruang makan atau bilik keluarga. Sesuaikan juga tema set ruang tamu dengan pilihan ambal hiasan yang antik dan baru, khas dari Galeria Fine and Antique Rugs atau manjakan diri dengan belian sehelai karpet indah dari Nasim Carpets.

Elemen tona bumi dan mineralBuat masa ini, warna-warna terang adalah pilihan jelas tetapi tona warna semula jadi menyerlahkan lagi ruang dalaman yang berwarna tona mineral atau hitam dan putih.

Berbincang dan dapatkan hasil yang terbaik untuk kediaman dengan Lifestyle Kitchen agar dapur kelihatan berseri dan direka mengikut keperluan. Hidupkan lagi suasana di ruang makan dengan meja makan dari XZQT yang rekaannya kekal elegan. Pilihlah kemasan logam atau kaca untuk hasil kesan eksklusif atau kayu keras digabung dengan kusyen diperbuat daripada kulit untuk kesan yang lebih bergaya anggun.

Berseni nyata, terang dan liar Serlahkan ruang dalaman anda dengan calitan warna-warna musin panas, hijau kiwi, akua laut, merah jambu terang, perak berkilau dan jingga jus oren.

Molecule adalah pilihan tepat untuk menyemarakkan ruang dalaman. Usah mengehadkan pilihan dengan hanya satu hiasan. Untuk kemasan yang kelihatan gah, kumpulkan jambangan yang sama tona warna tetapi lain-lain tingginya agar hasilnya kelihatan menarik dan kreatif. Warna-warna kuning dan jingga memang cukup ideal untuk ruang tamu kerana warna-warna ini meninggalkan kesan berlainan.

Imej daripada VertzuKoleksi ruang tamu Vertzu yang anggun menjanjikan hasil gaya elegan yang kekal berpanjangan. Baik anda bersiap sedia kerana anda bakal tertawan dengan setiap satu hasil seni hebat yang pasti mengubah ruang biasa kepada yang mengagumkan.

Merah jambu, pastel dan perang coklat daripada landasan fesyen Eropah dan terus ke rumah kediaman. Merah jambu kekal popular dalam tonanya daripada warna indah terbit matahari sehinggalah warna terang tembikai. Sisipan warna kedua dalam perang gelap menaikkan warna merah jambu dan memberi gaya anggun dan canggih.

Pilihlah warna yang mencerminkan gaya dan personaliti diri melalui set cadar dan bantal untuk katil daripada Aussino. Atau buatlah pilihan di Pleat & Pleats untuk kain langsir yang ditempah mengikut cita rasa tersendiri.

Sedikit inspirasi flora Bunga-bungaan hidup menambah gaya warna, kesegaran, wangian dan personaliti. Bagi gubahan flora ceria bermaya, tujulah ke Floristika Lifestyle. Anda mampu mengimpikan hari indah panas bersinar walaupun cuaca kelihatan mendung di luar. Wujudkan satu kesan yang tersendiri melalui susunan botani yang canggih dan tahan lama dalam mencipta satu titik fokus yang unik, hidup dan penuh inspirasi.

Untuk maklumat kunjungi ke laman http://www.pavilion-kl.com, atau datang terus ke Pesta Rumah Pavilion KL di Bintang Circle yang akan diadakan dari 19 – 29 Jun 2008.

http://www.utusan.com.my

Mendandan Rambut

Mendandan rambut

Oleh MERAN ABU BAKAR

DANDANAN untuk rambut panjang yang dihiasi dengan aksesori berbentuk bunga-bungaan. Gambar HARUN OSMAN

JIKA sudah namanya kanak-kanak perempuan, sudah tentu sangat seronok apabila mereka berpeluang didandan rambut lebih-lebih lagi oleh pendandan-pendandan rambut profesional. Mereka nampak sabar, seronok dan tidak banyak kerenah apabila didandan oleh kumpulan pendandan dari Sinma Jewellery Centre Sdn. Bhd., pada pertunjukan fesyen rambut D.I.Y. (Do It Yourself) yang diadakan di Genting Highlands, baru-baru ini.

Seramai 10 orang kanak-kanak perempuan berumur antara lima hingga 10 tahun mengambil bahagian dalam acara yang julung kali diadakan oleh syarikat pelopor perniagaan aksesori rambut untuk pelbagai peringkat usia itu.

Kesemua mereka didandan comel bagai peragawati dengan pelbagai gaya sesuai untuk rambut pendek dan panjang.

Dandanan diserikan lagi dengan pelbagai aksesori rambut sepit, klip, reben, rambut palsu bergulung dan sebagainya.

Kemudian dengan tambahan sedikit gel atau semburan rambut, dandanan rambut nampak lebih kemas dan tidak kusut.

Gaya rambut D.I.Y. ini sedikit sebanyak memberi idea kepada ibu-ibu untuk mendandan sendiri rambut anak perempuan mereka terutama ketika hendak menghadiri majlis-majlis keraian seperti parti hari jadi dan sebagainya.

Jadi, tidak perlulah ibu-ibu membawa anak perempuan mereka ke salon rambut, sebaliknya beli sahaja perhiasan rambut atau aksesori yang sepadan dan klipkan sahaja pada rambut.

Sebenarnya tidak sukar mendandan rambut anak perempuan jika tahu bagaimana caranya.

Dalam masa tidak sampai lima minit sahaja, dandanan rambut si comel telah siap dan penampilan nampak cantik serta bergaya.

Selain aksesori rambut, turut terdapat bermacam-macam pilihan aksesori kanak-kanak seperti rantai, gelang tangan, cincin, beg sandang dan banyak lagi.

Produk kecantikan

Artis, produk kecantikan

KALAU bercerita tentang produk kecantikan, artis sering kali dikaitkan. Mengapa? Kerana kecantikan dan artis tidak boleh dipisahkan. Mereka berjalan seiringan. Sama seperti fesyen.

Maka tidak hairanlah kalau banyak produk kecantikan, dalam dan luar negara, jenama tempatan dan antarabangsa akan tetap menggunakan artis untuk menarik perhatian khalayak sekali gus menjadi ‘pelaris’ jualan.

Maka tidak hairan jugalah kalau artis cantik, jelita dengan wajah putih mulus menjadi pilihan produk kecantikan untuk menjadikan mereka duta barangan syarikat masing-masing.

Malah seringkali juga artis-artis menjadi senarai jemputan kepada syarikat jenama besar untuk melancarkan produk-produk baru dalam dunia kecantikan dan kosmetik.

Ketika ini, di Malaysia, nama-nama seperti Maya Karin dan Fasha Sandha menjadi antara nama dalam senarai utama pencari wajah untuk dijadikan duta produk kecantikan.

Mereka jadi rebutan. Kerana apa? Kerana mereka cantik, popular dan nama sedang meniti di bibir penggemar mereka. Lalu, ia menjadi aset berharga buat syarikat produk kecantikan dalam ‘menjual’ produk mereka.

Dan mereka juga tidak dibayar dengan harga murah. Ada mencecah ratusan ribu ringgit untuk kontrak masing-masing yang pada Wanda memang satu jumlah yang lumayan.

Pun begitu, ada artis yang mengambil keputusan untuk menghasilkan produk kecantikan menggunakan formula sendiri selepas bergelar duta kepada produk lain.

Antaranya Erra Fazira yang menjadi duta Avon selama lima tahun berturut-turut sebelum menghasilkan produk kecantikannya sendiri, Ferra KosmoLook atau Ferra KL.

Menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Jerman, buat permulaan Ferra KL mengeluarkan dua set penjagaan wajah iaitu Ferra Basic yang terdiri daripada sabun dan bedak kompak dan Ferra White (pencuci, toner, krim siang dan krim malam) dengan menggunakan bahan organik pada harga yang berpatutan.

Malah Ferra KL juga merupakan produk pertama seumpamanya yang menggunakan bahan daripada serbuk koko yang terkenal sebagai bahan anti-oksidan serta pelindung sinaran UV secara semulajadi.

Penyanyi rock, Ella juga muncul dengan produk kecantikan dan kesihatannya sendiri yang diberi nama Ella: Beauty That Rocks The World. Ella mengeluarkan tiga produk kecantikan dan kesihatan iaitu semburan bio oksidan, produk pelangsingan El Treem dan El Beauty Soap iaitu sabun yang berasaskan madu dan ekstrak gamat.

Ella juga menegaskan kesemua produk keluaran syarikatnya itu adalah selamat dan tiada kesan sampingan kerana ia menggunakan bahan organik dan tidak mempunyai bahan kimia.

Dan sememangnya bagi mereka yang pernah mencuba produk Ella, pasti akan terpegun dengan hasil semburan bio oksidannya yang memang berkesan.

Terkini, penyanyi Sheila Majid bakal melahirkan produk jenamanya, Jerneh yang dikeluarkan selewat-lewatnya Ogos ini yang bukan semata-mata untuk kecantikan tetapi bertujuan ingin melakukan sesuatu dalam mendidik wanita Malaysia tentang definisi sebenar kecantikan dan kosmetik.

Jerneh kata Sheila, merupakan rangkaian produk kecantikan yang lahir dari ideanya sendiri dengan kerjasama dua orang sahabatnya.

Wanda sendiri memang suka dengan produk kecantikan dan tak sabar menantikan kemunculan Jerneh selepas Sheila berjaya dengan perniagaan spa.

Dan tentunya apabila kita berniaga, pasti akan ada pulangan yang diterima dan Wanda yakin, melalui nama masing-masing dapat memberi impak kepada penjualan.

Selain dapat menghasilkan produk yang mampu memberi manfaat kepada pengguna, hasil penjualan itu juga dapat memberikan hasil kepada satu masa depan yang cerah. Tidak sahaja kepada artis itu sendiri tetapi juga stokis masing-masing.

Fesyen Rambut

Rambut memikat


Potongan rambut Puteri Diana menjadi ikutan ramai wanita di Barat mahupun di Timur.


Oleh Rahana MD
KECANTIKAN wanita sering dikaitkan dengan memiliki rambut yang panjang mengurai. Dalam istilah moden, kecantikan yang dimaksudkan tidak hanya menjurus rambut panjang. Mempunyai rambut pendek, separas bahu dengan fesyen yang berombak, layerd atau lurus juga cantik asalkan sesuai dengan bentuk wajah.

Tahun 80-an, gaya fesyen kerinting begitu diminati tetapi kemunculan Puteri Diana seolah memangkas fesyen tersebut daripada berkembang.

Rambut ala Puteri Diana berpotongan bulat lurus manakala bahagian hadapannya tersisir lembut tersuak ke belakang pernah menjadi kegilaan.

Begitu juga dengan bintang Charlie’s Angels, Farah Fawcett yang terkenal dengan fesyen rambut layerd sejak tahun 80-an lagi.

Bagi mendapatkan fesyen artis ini, rambut mesti dipotong gaya layerd daripada bahagian hadapan terus ke belakang.

Menampilkan imej lebih seksi, bahagian rambut di bahagian depan jangan dipotong terlalu pendek dan buat belahan di bahagian tengah. Elakkan menyembur spray agar rambut jatuh secara semulajadi di bahagian dahi.

Bintang popular siri Friends, Jennifer Aniston antara artis hollywood yang diiktiraf memiliki rambut tercantik.

Rambutnya tidak dibiarkan terlalu panjang, hanya melepasi bahu tetapi cantik beralun lurus, serasi dengan bentuk wajahnya yang bujur. Warna kilauan keemasan menambahkan lagi ketrampilannya di layar perak.

Di negara ini, kecantikan rambut yang dinilai daripada kaca mata beberapa jurusolek artis terkemuka termasuk ZulFazli dan Aam, sepakat memilih penyanyi Nora.

Memiliki wajah bulat, Nora bijak memilih fesyen rambut yang sesuai. Ditambah dengan kurniaan rambut yang hitam berkilau dan sihat, menurut mereka, rambut Nora paling senang dibentuk.

Selain Nora, Zulfazli dan Aam memberi jolokan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Shahrizat Abd. Jalil antara wanita yang memiliki potongan rambut cantik.

Sentiasa memastikan rambutnya tampil kemas, cantik dan menarik, fesyen potongan pendek berombak amat sesuai dengan bentuk wajah Shahrizat.

Diserlahkan pula dengan warna rambut yang begitu serasi, kata Zulfazli dan Aam, gaya rambut Shahrizat menyerlahkan ketrampilannya sebagai pemimpin yang tidak meminggirkan gaya.

Fesyen Artis

Tempahan Gaya Pos

Fesyen artis di malam AIM



SETIAP tahun majlis seperti Anugerah Industri Muzik (AIM), sering menjadi medan warga hiburan berkumpul dan meraikan kecemerlangan masing-masing dalam dunia hiburan.

Selain itu, pada majlis yang sama juga ia seolah-olah menjadi medan memperagakan fesyen oleh para artis. Tidak keterlaluan seperti gaya bintang Hollywood menghadiri majlis Anugerah Akademi.

Setiap yang hadir sememangnya inginkan yang terbaik pada malam itu. Mungkin ada antara mereka yang lebih awal menempah pakaian khas untuk AIM tetapi ada juga melakukan sedemikian di saat-saat akhir.

Malah ada antara artis yang rela menghabiskan wang ribuan ringgit semata-mata untuk kelihatan lebih menarik pada majlis istimewa seperti itu.

Demikian jugalah halnya pada majlis AIM yang berlangsung baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra. Majlis tersebut berlangsung dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dan meriah.

Di samping kegembiraan mereka meraih anugerah tidak kurang juga mereka yang gembira melihat teman-teman yang bergaya dengan fesyen yang sungguh indah sekali.

Malah ada juga artis yang menjadikan majlis tersebut sebagai medan untuk menampilkan imej terbaru mereka. Salah seorangnya mungkin artis Ning Baizura.

Pelbagai fesyen pakaian dipamerkan, ada yang mencerminkan budaya Timur dan bersopan. Tetapi ada juga yang ingin mempamerkan fesyen agak lain daripada yang lain, bukan untuk menarik perhatian semata-mata tetapi kerana keselesaan diri.

Artis Jadi Model

Apabila celebrity jadi model

Oleh Jamliah Abdullah

SEPETANG Bersama Bintang adalah acara baru dalam Minggu Fesyen Kuala Lumpur (MFKL) yang pernah dikenali sebagai Minggu Fesyen Rias Malaysia.

Ia masih mengenai fesyen terkini tetapi diperluaskan skop dengan pembabitan celebrity tempatan yang terdiri daripada pelbagai cabang glamor.

MFKL 2003 mengajak celebrity terbabit bukan sekadar menggayakan fesyen pereka terkenal tempatan tetapi memperagakan busana itu di pentas catwalk.

Puncak Menara Kuala Lumpur menjadi saksi apabila kebanyakan celebrity tersebut yang pertama kali mencuba bakat sebagai model catwalk.

Sepetang Bersama Bintang itu menyaksikan peragaan celebrity terkenal seperti penyanyi Fauziah Latif, Siti Sarah, Ella, Ezlynn, Siti Nordiana, Hetty Sarlene, Shafinaz, Waheeda dan Rem.

Begitu juga pelakon popular seperti Rosyam Noor, Juliana Banos, Sharifah Shahira dan Haslinda serta Maya Karin tidak ketinggalan.

Acara itu turut mengundang celebrity lain seperti Miss Malaysia Universe 2003, Elaine Daly, Miss Malaysia World, Carmen dan pengacara TV, Ngai Yuen.

Mereka menggayakan pelbagai koleksi terkini daripada pereka terkenal seperti Bernard Chandran, Bill Keith, Zang Toi, Carven Ong, Sharifah Kirana, Alvin Tang, Annie Ong, Suziana Mustafa, Justin Oh, Saiful dan Amin Jauhary.

Label pakaian tempatan popular daripada Euro Moda, Jarumas, Kapas Couture dan Etho turut digayakan pada acara tersebut.

Lupakan tentang karakter atau ketinggian yang menjadi elemen penting di pentas catwalk kerana peragaan fesyen artis terbabit tetap meraih tepukan gemuruh jemputan.

Apa yang ditampilkan adalah pelbagai tema dan gaya namun kebanyakan daripada mereka mengambil peluang untuk menggayakan gaun petang.

Penyanyi Shafinaz misalannya kelihatan anggun dalam gaun kuning yang seksi daripada Kapas Couture.

Begitu juga dengan Elaine dengan pakaian koktel yang ringkas daripada Justin serta Carmen dengan gaun hitam merah jambu daripada Annie Wong.

Penyanyi remaja, Hetty Sarlena buat pertama kali cuba merobah penampilannya dengan gaun serba hitam daripada tokoh Jarum Berlian 2002, Alvin Tang.

Jarumas pula berjaya menggayakan Sharifah Shahira dengan gaya ranggi yang menarik. Gaya gipsi itu sesuai dengan imej santai dan lasak penyanyi tersebut.

Begitu juga dengan pereka muda yang berbakat besar dan juara Anugerah Jarum Berlian 2002, Saiful tidak kalah apabila dia mencipta pakaian untuk penyanyi Siti Sarah.

Kolaborasi antara bintang dan pereka fesyen seperti itu mungkin bukan sesuatu yang baru. Sejak kebelakangan ini memang bertambah erat di karpet merah banyak acara glamor.

Mungkin itu sebab utama acara tersebut dimasukkan dalam jadual minggu fesyen kerana ia juga sebahagian daripada Warna-Warna Malaysia yang menjadi tema MFKL 2003.

Sebagai pesta fesyen yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pereka tempatan dan peminat fesyen, Sepetang Bersama Bintang adalah inisiatif penganjur iaitu majalah fesyen Rias untuk memeriahkan acara tersebut.

Acara yang berlangsung daripada 1 Ogos itu sebelum ini menyaksikan pelbagai agenda menarik dan cukup berguna untuk khalayak fesyen.

Pada malam ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan berlangsung acara kemuncak MFKL 2003 yang menjanjikan peragaan lebih hebat daripada pereka Bernard, Datin Sarimah Adzrina, Radzuan Radzwill, Eric Choong dan Justin Oh.

MFKL 2003 tahun ini dijayakan dengan kerjasama DHL bersama Estee Lauder dan Euro Moda.

Lokasi berlangsung pelbagai acara tersebut ditaja oleh Maju Junction, Menara Kuala Lumpur, Suria KLCC dan PWTC.

Acara itu juga turut disokong oleh Sekretariat Mega Sale, Universiti Teknologi Mara dan Malaysia Designer Association (MODA).

http://www.utusan.com.my