Monthly Archives: March 2008

Baju Kebaya

 baju kebaya

Tempahan Baju Kebaya http://ening.wordpress.com/

Keunikan budaya Baba Nyonya

Dipetik dari http://www.utusan.com.my

MUKADIMAH
MASYARAKAT peranakan Baba dan Nyonya merupakan kumpulan komuniti yang tinggal di negeri Melaka.

Mereka merupakan masyarakat unik kerana kumpulan ini adalah sebahagian dari kaum Cina tetapi mengamalkan adat resam dan budaya campuran Cina-Melayu.

Masyarakat ini dikatakan telah wujud sejak lebih 600 tahun lalu iaitu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka apabila mereka datang untuk berdagang di bumi ini dan kemudiannya berkahwin dengan masyarakat Melayu.

Zaman terus berlalu, jumlah masyarakat Baba Nyonya kini semakin berkurangan. Lebih ironik apabila generasi muda yang sepatutnya menjadi pewaris kini kebanyakannya semakin meninggalkan adat resam dan budaya tinggalan nenek moyang mereka.

Wartawan Utusan Malaysia, NORIZAN ABDUL MUHID dan jurugambar ABDUL RAZAK LATIF baru-baru ini telah mendekati kumpulan minoriti Baba Nyonya yang ada di Melaka untuk mengetahui sejauh mana adat resam dan budaya masyarakat itu dapat dipertahankan. Ikuti laporan khas tersebut.

MELAKA 26 Mac – Kaum peranakan Baba Nyonya sudah wujud di negeri ini sejak 600 tahun lalu dan negeri Melaka merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang merupakan kolonis terbesar masyarakat unik ini bertapak.

Kini bilangan mereka mencecah lebih 600 orang di Melaka, belum lagi dikira bilangan mereka yang berhijrah ke negeri lain khususnya ke Pulau Pinang dan Singapura.

Kumpulan kaum minoriti ini menggelarkan diri mereka sebagai Baba Nyonya atau peranakan kerana memiliki dua budaya warisan tradisi Cina yang pada masa sama mengamalkan ciri-ciri kehidupan masyarakat Melayu.

Ia berpunca pada zaman sebelum Kesultanan Melayu Melaka menerusi perkahwinan campur yang berlaku di antara pedagang Cina yang datang berniaga ke Tanah Melayu pada waktu itu yang kemudiannya jatuh cinta dan akhirnya mengahwini wanita Melayu.

Sebab itu, kaum peranakan Baba Nyonya ini mempunyai persamaan dengan kaum Melayu terutama dari segi bahasa, makanan dan budaya.

Bagaimanapun, dari segi anutan, kebanyakanya mereka masih mengekalkan agama Buddha namun ramai di antara mereka yang memilih agama lain seperti Islam dan Kristian.

Cara masakan Baba Nyonya juga dipengaruhi resipi orang Melayu sehingga sudah menjadi kebiasaan, kaum ini menggunakan tangan ketika menjamah hidangan seperti amalan masyarakat Melayu.

Generasi Nyonya (perempuan) yang terdahulu sehingga kini masih memakai pakaian kebaya dan kain sarung seperti masyarakat Melayu yang dikenali sebagai kebaya nyonya.

Namun, kehidupan dan pemikiran kaum Baba Nyonya ini masih mengekalkan unsur-unsur masyarakat Cina biarpun mereka telah lama terpisah dari komuniti nenek moyang mereka di China.

Keadaan ini jelas digambarkan menerusi sistem kekeluargaan dan agama yang masihmereka amalkan, kecuali tocang yang dianggap sebagai lambang pengabdian kepada kerajaan Manchu (zaman sebelum penghijrahan ke Tanah Melayu).

Bagaimanapun, zaman semakin berubah, amalan dan budaya sosial yang diamalkan masyarakat Baba Nyonya semakin disisihkan oleh generasi baru kaum itu.

Kebimbangan itu dilahirkan Presiden Persatuan Peranan Melaka, Phua Jin Hock, yang mengakui generasi barunya seperti malu dengan identiti Baba Nyonya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka yang terdahulu.

Jin Hock, 61, berkata, golongan itu semakin tenggelam dibuai arus kemodenan muzik pop, peralatan canggih muzik, I-pod dan Internet yang diserapkan dengan budaya Barat.

‘‘Malah, boleh dikatakan, 90 peratus daripada 450 orang kaum Peranakan yang menyertai Persatuan Peranakan Baba Nyonya yang ada pada hari ini terdiri daripada orang-orang lama.

‘‘Hanya segelintir daripada generasi baba lama yang menyertai persatuan ini turut disertai oleh anak-anak mereka yang kebanyakannya berusia dalam lingkungan 30-an,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Kenny Chan, 58, sukar untuk melihat anak-anak perempuan dan wanita dewasa di kalangan kaum itu mengenakan pakaian baju kebaya yang mengikut tradisi asal nenek moyang mereka kerana kebanyakan mereka lebih gemar memakai pakaian moden.

‘‘Dulu ketika muda, saya sering dikutuk oleh kaum Cina kerana tidak pandai berbahasa Cina pada hal saya berketurunan Cina, dan sepanjang usia remaja, bila orang tanya identiti saya, saya hanya mendiamkan diri kerana malu.

‘‘Rasanya saya faham mengapa generasi baru hari ini berperangai sedemikian, tetapi sebenarnya, kaum peranakan Baba Nyonya sangat unik, dan apa yang kami ada, tidak ada pada kaum-kaum lain di mana-mana negara pun,” katanya.

David Tan, 67, pesara kerajaan, berkata, mana-mana kaum lain tetap mengalami krisis yang sama seperti yang dialami peranakan Baba Nyonya sekarang.

‘‘Sebab itu kita melalui kegiatan berpersatuan sedang giat menjalankan program mendekati golongan muda untuk terus kekal mengamalkan adat budaya Baba Nyonya sehingga mereka dapat mewariskan kepada anak-anak mereka kelak,” katanya.

Wanita XXL kena bijak pilih fabrik

Oleh Rohaniza Idris
roha@nstp.com.my

Kenali gaya

Download Contoh : http://www.cakapbanyak.com/Download-Contoh-Baju-Kurung.html

Baju kurung sering menjadi pilihan untuk secara rasmi serta pakaian ke pejabat. Namun, ramai yang masih keliru untuk menggayakannya.

Berita minggu mendapatkan nasihat pereka fesyen mengenai pilihan baju kurung yang sesuai untuk majlis mengikut bentuk tubuh si pemakai. Semua masalah akan dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu.
Hantarkan masalah anda melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Badan saya agak berisi dan memakai saiz XL dan XXL. Saya bukan seorang yang gemar bergaya namun, mahu kelihatan kemas jika ke pejabat. Ketinggian saya sederhana dan lebih selesa berbaju kurung jika ke pejabat. Apakah baju kurung yang sesuai untuk orang berisi yang mempunyai ketinggian sederhana seperti saya.

Jawapan:

Sebenarnya, orang berisi atau gemuk masih boleh bergaya seperti mereka yang kurus atau mempunyai saiz sederhana. Namun, mereka yang gemuk perlu bijak memilih fabrik, corak fabrik dan warna sebelum bergaya.

Dakwaan orang gemuk kena memakai pakaian berwarna gelap hanya mitos semata-mata kerana mereka yang bersaiz L, XL dan XXL sebenarnya masih boleh memakai pakaian mengikuti cita rasa warna masing-masing.

Bukan satu kesalahan jika mereka bersaiz besar mahu bergaya dengan baju warna menyerlah. Malah kini, mereka yang gemuk boleh bergaya sama seperti orang kurus dan saiz sederhana.

Antara baju tradisional yang mudah untuk digayakan ke pejabat adalah baju kurung dan kebaya. Terkini pelbagai kurung moden muncul kembali dan mewarnai industri pakaian tradisional.

Kurung pesak dengan potongan baru juga kini semakin mendapat tempat penggemar fesyen dan mereka yang berisi memang sesuai memakainya kerana ia mempunyai bentuk.

Selain kurung pesak, kini muncul baju kurung Pahang yang mempunyai pinggan dan kain selisih dengan kolar mandarin atau cekak musang.

Baju berkenaan juga boleh didapati dalam dua jenis iaitu pesak gantung di pinggang atau tanpa pesak iaitu bercantum dengan kekek baju.

Bagi yang agak berisi, dicadangkan memakai baju daripada kain sifon, sutera, kain renda manakala sutera Thai, Sutera China Shantung dan songket perlu dielakkan.

Kain Sifon dan renda sesuai untuk mereka yang bertubuh besar kerana ia lembut dan senang dibentuk berbanding kain yang keras seperti sutera Thai.

Untuk ke pejabat disarankan gunakan baju kurung polos yang dihiasi dengan manik atau batu seperti kristal swaroski atau permata tiruan di leher dan kaki lengan baju dipadankan dengan kain batik, songket dan tenun.

Bunga dan corak baju untuk mereka yang berisi biasanya kecil dan sederhana atau menjalar namun kini kebanyakan corak kain berbunga besar. Jika corak bunga besar masih tidak menjadi masalah jika tumpuan pada baju dialihkan kepada hiasan manik atau batu di dada dan pinggul baju.

Lengan baju kurung kini juga pelbagai, terbaru berbentuk jerut di kaki lengan baju. Terkini selain jerut, di siku lengan juga diletakkan kedut.

Profil

Zann – Ruhaizan Anen

  • Berasal dari Muar, Johor.
  • Lulusan Institut Kemahiran Mara, Kluang sebelum meneruskan pengajian ke institut swasta di Kuala Lumpur
  • Pernah memenangi Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri pada 1995 di Kuala Lumpur.
  • Mewakili Malaysia ke World Youth Skill Olympic di Leon, Perancis pada 1996 dan mendapat pingat perak Pertandingan Kemahiran Asia di Kuala Lumpur.
  • Membuka butik Zann D’ Classic di Medan Mara sejak 1998 hingga kini
  • Menjadi panel hakim untuk pertandingan Johan Kemahiran Malaysia dan Myskill peringkat Kebangsaan kategori pakaian wanita.
  • Penasihat panel kemahiran untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber ManusiaInfo

    Masalah dijawab pereka fesyen yang terkenal dalam rekaan pakaian tradisional dan pernah memenangi Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 1995, Zann dari Zann D Classic, Medan Mara, Kuala Lumpur. Sebarang pertanyaan boleh emel kepada Zanndclassic@yahoo.com.my