BAJU KURUNG, BAJU KURUNG PIPING, BAJU KURUNG RIAU, BAJU KURUNG PAHANG, BAJU KURUNG PESAK GANTUNG, BAJU KEBAYA, BLAUS BIASA, TULANG BELUT…

Entries from Februari 2008

Fesyen Tradisional

Februari 13, 2008 · Tinggalkan Komen

Syaiful terap elemen tradisional untuk pakaian sukan

KEMAJUAN dan pembaharuan yang sering dikaitkan dengan kehadiran tahun 2020 tidak hanya tertakluk kepada aspek sains dan teknologi semata-mata tetapi lebih menyeluruh, yang mana ia turut meliputi bidang fesyen.

Pada era itu nanti, kebanyakan orang menyatakan dunia fesyen akan banyak dipengaruhi elemen futuristik serta dipenuhi rekaan yang kreatif dan inovatif.
Masing-masing mempunyai gambaran dan ramalan tersendiri mengenai wajah fesyen 2020. Begitu jugalah empat pereka muda, Khoon Hooi (pereka fesyen), Tuck Loong (pereka multimedia), Syaiful Baharim (pereka fesyen) dan Lestat (pereka untuk produk Radioactive) yang meluahkan idea mengenai ilham gaya 2020 mereka ke atas sehelai jaket sukan Nike.

Keempat-empat mereka dipilih Nike dalam projek istimewa, Wind-Runner 2020, yang mana masing-masing dikehendaki menghasilkan satu rekaan yang menampilkan `terjemahan’ 2020 pada jaket Wind-Runner Nike.

Ia bukanlah sebuah pertandingan untuk mencari rekaan terbaik tetapi untuk menghimpun idea kreatif mengenai gambaran masa depan menerusi pakaian sukan yang disifatkan tidak pernah ketinggalan zaman, The Wind Runner.

Projek ini turut disertai peserta dari serata Asia Tenggara. Dua puluh enam jaket Wind Runner versi 2020 akan dihasilkan dan koleksi istimewa ini akan sentiasa relevan sehingga menjelangnya 2020.

Terdapat juga idea untuk mengeluarkan koleksi terhad rekaan dari pereka Malaysia ini di cawangan butik Nike namun ia masih dalam perbincangan.

i-Kon berkesempatan menemubual seorang daripada pereka Wind-Runner 2020 iaitu Syaiful Baharim, pereka muda yang kian meningkat namanya dalam industri fesyen tanah air.

Bila agaknya anda menerima tawaran daripada Nike untuk terbabit dalam projek ini?

Kalau tidak silap, mereka mengundang saya untuk menjayakan projek ini sekitar Ogos atau September tahun lalu (2007). Ketika itu saya baru selesai mengadakan sebuah pertunjukan fesyen.

Apa perasaan anda apabila menerima tawaran daripada pengeluar produk sukan terkemuka seperti Nike?

Amat gembira. Walaupun ketika tawaran itu diterima saya agak sibuk dengan pelbagai urusan dan perancangan, peluang yang baik seperti ini saya terima dengan tangan terbuka dan sejak awal lagi saya berazam untuk memberikan yang terbaik.

Bagaimana anda memperoleh idea untuk menghasilkan rekaan ini?

Selepas menerima tugasan ini, saya menyiapkan kira-kira lima lakaran. Semua lakaran rekaan menampilkan ciri tradisional yang bagi saya tidak lapuk dek zaman. Saya memilih fabrik berona putih, menampilkan elemen rekaan tradisional seperti jahitan dan sulaman kerawang serta ciri potongan kebaya pada jaket Wind Runner ini. Garis 26 darjah pada bahagian dada jaket masih dikekalkan sebagai identiti koleksi Wind Runner yang sudah berusia 25 tahun ini.

Warna putih dipilih kerana ia mencerminkan keaslian. Fabriknya juga sedikit bertekstur dan hiasan kerawang terdapat di kaki baju bahagian hadapan (berpotongan kebaya) serta pada hud.

Hiasan kerawang dan potongan ala kebaya kedengaran agak janggal untuk pakaian sukan. Bagaimana anda memastikan rekaan ini tidak kelihatan janggal?

Kombinasi ini mungkin agak janggal. Oleh itu, saya menampilkan elemen tradisional ini secara minimum seterusnya menghasilkan rekaan windbreaker (jaket) yang lebih praktikal. Hiasan kerawang yang ada pada jaket ini sebenarnya, tidak begitu menonjol. Ia dapat dilihat pada jarak yang dekat saja.

Anda dikenali dengan rekaan yang kebanyakannya berciri feminin sebelum ini. Adakah ia suatu cabaran yang besar bagi anda untuk menghasilkan rekaan untuk pakaian sukan?

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya menghasilkan rekaan begini (berciri sukan). Sebelum ini, pernah juga saya menghasilkan koleksi berciri sedemikian. Cuma, untuk projek ini, ia benar-benar mencabar kreativiti bagi menghasilkan sesuatu idea yang asli dan menepati konsep serta identiti koleksi ini.

Adakah anda berpuas hati dengan usaha anda ini?

Cukup berpuas hati. Segala pengalaman yang saya timba sebelum ini dapat saya praktikkan. Perkembangan seperti inilah yang saya inginkan dalam perjalanan kerjaya saya dalam bidang ini. Saya tidak mahu statik saja. Sejak menceburi bidang ini, saya sudah memasang impian dan kini sebahagian besar daripadanya sudah terlaksana. Bagi saya, kerjasama dengan jenama besar seperti Nike ini amat bermakna kerana ia memberi pendedahan yang baik untuk saya selain memberi peluang untuk saya untuk belajar lebih banyak lagi.

Apa pula projek anda yang selepas ini?

Untuk tahun ini, ada beberapa lagi usaha sama seumpama ini yang akan dijalankan. Selain itu, saya akan mempamerkan koleksi terbaru Syaiful Baharim, baik koleksi sedia pakai, pengantin dan juga koleksi untuk lelaki tidak lama lagi.Dipetik dari : Berita Harian Online

Kategori: Pakaian Sukan

Pereka Fesyen

Februari 13, 2008 · Tinggalkan Komen

Kenali Syaiful

SYAIFUL Baharim adalah antara pereka fesyen yang menyinar pada tahun 2007. Memiliki pemikiran yang inovatif, Syaiful memberi sentuhan segar dalam arena fesyen tempatan. Rekaan yang dihasilkannya sentiasa menampilkan kejutan serta menyerlahkan gaya sesiapa yang memakainya.

Gaya klasik yang digabung dengan cita rasa urban dengan potongan dan tekstur yang tampak mewah menjadi identiti dan keunikan rekaan Syaiful.

Tidak hairanlah jika graduan Ijazah Seni Rekaan (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini sudah beberapa kali menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antaranya tempat kedua Anugerah Pereka Anggun Rias 1998, juara Anugerah Jarum Berlian Rias 2002, tempat keempat Piala Batik Seri Endon 2003, Rekaan Kasual & Avant-garde terbaik di Malaysia International Fashion Award 2004 dan juga juara Mercedes Benz Asia Fashion Award (MBAFA) 2006.

Beliau muncul sebagai pereka fesyen tempatan pertama yang memenangi anugerah antarabangsa yang cukup diidam-idamkan itu.

Selepas diiktiraf sebagai pemenang MBAFA, Syaiful diberi peluang mempamerkan koleksi rekaannya pada Minggu Fesyen Mercedes (Mercedes Fashion Week-MAFW) yang berlangsung pada bulan April 2006 di Sydney, Australia.

Di ruang Circular Quay, beliau bersama enam pereka muda lain mempersembahkan 10 rekaan daripada koleksinya yang menaikkan nama beliau dalam pertandingan bertaraf antarabangsa itu.

Hadiah kemenangannya, Syaiful berpeluang menimba ilmu bersama pereka antarabangsa, Ashley Isham di London selama enam minggu sebelum ke Mercedes-Benz Advanced Design Centre di Jepun selama empat minggu.

Dipetik dari : http://www.bharian.com.my /

Kategori: Pereka Fesyen

Fesyen Era 80

Februari 13, 2008 · Tinggalkan Komen

http://ening.wordpress.com/

Trend legging kembali diminati

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my

Fesyen era 1980-an dipopularkan selebriti Hollywood, Madonna bantu serlahkan bentuk kaki

BERKUNJUNG ke kota Bangkok baru-baru ini, pandangan mata disajikan dengan anak muda dan wanita yang kebanyakannya bijak menggayakan fesyen. Malah, di kota penuh seni dan budaya itu, fesyen berkembang dengan pantas sekali.

Sememangnya di kota berkenaan, pelbagai jenis busana dengan rekaan terkini boleh diperoleh dengan harga yang amat berpatutan namun itu bukan menjadi persoalan kerana paling utama ialah bagaimana kita menghargai fesyen.
Gaya paling hangat ketika ini adalah pemakaian legging (stokin kaki) dan skinny jeans (jeans berbentuk tirus). Padanannya tentulah top, mini dress dan blaus labuh.

Kelihatan seperti kembali pada era 80an, namun itulah gaya terkini yang hangat di pentas peragaan antarabangsa.

Seperti ikon fesyen tempatan, Camelia yang turut mengenakan skinny jeans untuk dipadankan dengan kasut converse ketika menghadiri majlis rasmi, kelihatan ranggi namun penuh gaya.

Penyanyi, Ezlyn juga sering tampil membuat persembahan dengan legging pelbagai warna. Bagi menambahkan seri, ia dipadankan pula dengan aksesori bersesuaian.

Fesyen itu sememangnya sesuai digayakan anak muda yang ingin bergaya dengan pilihan top atau blaus gaya comel tanpa perlu mendedahkan betis.

Selain itu, cetusan gaya yang pernah menjadi trend kalangan selebriti Hollywood terutama Madonna itu juga dapat membantu menyerlahkan bentuk kaki jika bijak digayakan bersama kasut yang sesuai.

INFO: Tip memadankan kasut

  • Jika ingin tampil kasual, padankan legging atau skinny jeans anda dengan kasut datar seperti pump, baji (wedges) atau kasut sukan.
  • Ingin alihkan gaya kepada elegan dan glamor, padankan ia dengan stilletto atau platform tinggi gaya terkini.

    Tip menggayakan skinny jeans

  • Padanan busana sepadan dengan skinny jeans dapat menyerlahkan gaya. Tahukah anda apakah padanan paling sesuai digayakan bersama skinny jeans selain t-shirt? Jawapannya adalah top labuh ketat.
  • Jika bertandang ke butik terkenal, perhatikan warna skinny jeans yang ditawarkan. Ia biasanya terhad hanya kepada dua warna paling popular saja iaitu biru laut atau biru laut selain hitam.

    Tip menggayakan legging

  • Pilih baju yang menutupi paras punggung jika menggayakan legging
  • Pilih legging yang panjangnya mencapai paras paling ramping pada betis anda. Elakkan mengenakan legging yang panjangnya mencapai pertengahan labu betis atau paras lutut kerana ia akan membuatkan kaki anda kelihatan pendek seperti pengayuh basikal lumba.
  • Pilih legging daripada pilihan warna gelap seperti hitam, kelabu dan warna neutral kerana ia lebih mudah dipadankan.
  • Kategori: Fesyen Era 80

    Majalah

    Februari 11, 2008 · Tinggalkan Komen

    Majalah Keluaran KarangKraf

    http://www.karangkraf.com.my/

    MAJALAH    BOLA SEPAK
    MAJALAH    BACARIA
    MAJALAH    DARA.COM
    MAJALAH    IMPIANA
    MAJALAH    LIBUR
    MAJALAH    MAJALAH i
    MAJALAH    MASKULIN
    MAJALAH    MEDIA HIBURAN
    MAJALAH    MINGGUAN WANITA
    MAJALAH    NONA
    MAJALAH    NUR
    MAJALAH    PA & MA
    MAJALAH    PESONA PENGANTIN
    MAJALAH    RAPI
    MAJALAH    RASA
    MAJALAH    REMAJA
    MAJALAH    KELUARGA
    MAJALAH    TRAVERAMA
    MAJALAH    MIDI
    MAJALAH    KLIK
    MAJALAH    G3
    MAJALAH    BINTANG KECIL
    MAJALAH    YEZZ
    MAJALAH    E-BACA
    MAJALAH    LAMAN IMPIANA
    MAJALAH    DAPUR IMPIANA
    MAJALAH    FOKUS SPM
    MAJALAH    MAJALAH PC
    MAJALAH    E@SISWA

      Sebarang urusan langganan boleh dialamatkan ke :

    Urusan Langganan
    Media Network Sdn. Bhd.
    Unit Langganan & Pengedaran,
    Lot 2, Jalan Sepana 15/3,
    Off Persiaran Selangor,
    Seksyen 15, 40200 Shah Alam,
    Selangor Darul Ehsan.

    Tel: 5101 3651 / 3652
    Faks: 5101 3607
    Emel: langganan@medianetwork.com

    Kategori: karangkraf · majalah
    Tagged: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

    Syarikat Jahitan

    Februari 11, 2008 · 1 Komen

    Untuk Tempahan Pakain Wanita sila ke http://ening.wordpress.com/

    Anak peneroka buka syarikat jahitan

    Mr. Right Trading yang merupakan sebuah syarikat perniagaan jahitan di bandar ini, bukan sahaja menjadi sebutan warga Felda tetapi sesiapa juga yang pernah mendapatkan khidmatnya yang berkualiti.

    Pemiliknya, M. Werda Bustaman, 32, anak peneroka Felda Kenanga, Jengka Tujuh berkata, pengiktirafan itu bukan diterima dengan cara yang mudah.

    Menurut beliau, jika tidak mempunyai semangat jitu, gigih dan wawasan yang tinggi untuk berjaya, dia mungkin telah menemui kegagalan dalam bidang itu.

    “Dunia perniagaan memiliki keunikan dan seni perjuangan tersendiri kerana kejayaan dan kemajuan akan memberi kepuasan terutama jika matlamat yang disasarkan tercapai,” katanya.

    Dengan bermodalkan sebanyak RM5,000, dia membeli dua buah mesin jahit sekali gus membuka sebuah kedai jahit bersama seorang rakan.

    Menceritakan pengalamannya, M. Werda berkata, dia pernah ‘jatuh’ dalam bidang itu terutama pada tahun 1999 semasa ekonomi dunia merudum dan tempiasnya turut dirasai di Malaysia.

    Menurut M. Werda, segala-galanya bermula selepas dia menamatkan pelajaran di tingkatan lima Sekolah Menengah Jengka Enam, Maran, dan kemudian berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai tukang jahit di salah sebuah kilang.

    ‘‘Pengalaman selama dua tahun di syarikat membuat pakaian tentera dan pakaian pasukan keselamatan amat berharga dan sukar diperoleh di tempat lain,” katanya.

    M. Werda mengakui, menjadi tukang jahit pakaian pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba dan lain-lain adalah ‘modal’ pertama yang mendorongnya untuk membuka kedai jahit sendiri.

    ‘‘Oleh itu generasi muda Felda yang bekerja sambilan atau sedang mengikuti latihan kemahiran anjuran Felda serta agensi-agensi lain perlu komited dengan tugas masing-masing,” katanya.

    M. Werda menjelaskan, ketika berusia 21 tahun, dia berhenti bekerja dengan syarikat itu dan kembali ke Felda Jengka Tujuh dan selama bertahun dia menoreh getah untuk mengumpul modal pusingan.

    Pada tahun 2000 dengan sokongan sebuah syarikat Menroy dari Kuantan yang meminjamkannya enam buah mesin jahit pelbagai jenis, kedai jahitnya yang terbiar, mampu beroperasi semula.

    ‘‘Percubaan kali kedua ini saya usahakan sendiri kerana rakan kongsi sebelum ini telah mengambil keputusan menceburkan diri dalam perniagaan lain,” katanya.

    M. Werda amat bersyukur kerana perniagaannya kembali stabil pada tahun 2002 kerana pelbagai faktor seperti sokongan Felda, kestabilan ekonomi, dasar kerajaan dan sebagainya.

    Katanya, pada masa ini operasi menerima tempahan dibuat di bengkel Felda Jengka Tujuh, selain dua buah kedai lagi beroperasi selama enam hari seminggu iaitu terletak di Bandar Jengka, Pahang.

    Beliau memberitahu, berikutan banyak tempahan diterima, dia kini mempunyai seramai 21 pekerja terdiri daripada anak peneroka.

    Di samping itu ujarnya, beberapa vendor juga diwujudkan bagi membantu menjahit bahagian-bahagian tertentu sekiranya jumlah tempahan yang diterima adalah di luar jangkaan. Dia kini mempunyai sebanyak 30 mesin jahit pelbagai jenis bagi memenuhi tempahan pelanggan.

    ‘‘Saya secara peribadi amat menghargai sumbangan Felda khususnya pengurus rancangan, Yaakob Hashim yang berkhidmat pada tahun 2002 kerana beliau menyediakan premis bengkel jahitan di tapak perniagaan Jengka Tujuh,” katanya.

    http://www.utusan.com.my/

    Kategori: Syarikat Jahitan

    Gaya Pemakaian Tudung

    Februari 7, 2008 · Tinggalkan Komen

    Pemilihan tudung tingkatkan penampilan

    Oleh: MERAN ABU BAKAR

    PEMAKAIAN tudung sudah menjadi satu kelaziman di kalangan wanita Islam di negara ini dalam memenuhi tuntutan menutup aurat sebagaimana yang telah disyariatkan.

    Tanpa meminggirkan niat asal tersebut dan seiring dengan perkembangan semasa, tudung menjadi sebahagian elemen fesyen yang sedikit sebanyak berperanan meningkatkan penampilan diri wanita muslimah.

    Pemakaian tudung dan selendang di kalangan wanita masa kini semakin hari semakin kreatif lebih-lebih lagi dengan rekaan-rekaan yang menarik dan bervariasi.

    Bukan saja di kalangan remaja bersekolah, pemakaian tudung jelas bertambah meluas di kalangan suri rumah, golongan profesional, selebriti, tokoh pemimpin, sehinggalah kepada kerabat diraja.

    Begitupun, masih ramai wanita yang tidak memahami pemilihan tudung yang sesuai dengan bentuk muka, warna yang sepadan dengan pakaian, tempat yang dihadiri dan sebagainya.

    Menurut pereka fesyen dan tudung serta pemilik Rousse Design, Rosemawati Md. Noh, apabila berbicara tentang tudung, terdapat beberapa pecahan mengenainya. Tudung boleh dibahagikan kepada anak tudung, tudung empat segi, selendang, tudung sarung, serkup, topi dan turban.

    Tudung empat segi yang dipakai oleh kebanyakan wanita Melayu pula dibuat daripada beberapa jenis kain seperti kain bawal, sifon dan polyana (campuran poliester dan kain kapas).

    ‘‘Hanya beberapa jenis kain sahaja yang sesuai dan cantik untuk membuat tudung seperti sutera, sifon dan bawal,’’ kata Rosemawati.

    Sementara itu tambah beliau, kain memeri (stretchtable) dan kain spandex menjadi pilihan pereka tudung untuk membuat tudung sarung kerana kain jenis itu berat dan terletak cantik di atas kepala apabila memakainya.

    Turban juga sesuai dibuat daripada kain memeri, namun ia bergantung kepada rekaan turban itu sendiri. Selain kain memeri, turban turut sesuai dibuat daripada kain kapas di mana pemakainya tidak akan berasa terlalu panas.

    Rosemawati yang menghasilkan pelbagai rekaan tudung dan hiasan di atas tudung turut mencipta topi kait yang dibuat daripada benang bulu dan pemakaian topi ini sesuai dengan baju berleher turtle neck. Topi jaring pula dipakai sebagai hiasan di atas kepala selepas memakai tudung.

    Namun rekaan tudung Rosemawati yang lebih eksklusif adalah tudung empat segi bawal berhias manik. Manik-manik Jepun yang halus, berkilat, tidak luntur warna dan tidak mudah pecah dijahit di atas bahagian kepala (berbentuk seperti cekak), di bahagian tepi tudung atau sudut sahaja.

    ‘‘Tudung eksklusif ini dibuat daripada kain bawal jenis A yang lembut, tidak berbulu apabila dibasuh, tidak panas dan selesa dipakai,’’ ujar Ros.

    Beliau berkata, bagi membuat tudung ini, memerlukan kain bawal jenis A sepanjang 1.2 meter. Kemudian bahagian tepi tudung dijahit halus.

    Seterusnya manik halus dijahit pada dua bahagian tepi tudung. Bagi jahitan manik untuk atas kepala, lipat dua tudung bentuk tiga segi dan jarakkan setengah inci daripada bahagian tepi atas tudung.

    Dipetik dari Utusan Online – http://www.utusan.com.my/

    Kategori: Tudung Wanita
    Tagged: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

    Fesyen Gemuk

    Februari 7, 2008 · Tinggalkan Komen

    Tukang Jahit Untuk Tempahan Pakaian Bersaiz Besar –> http://ening.wordpress.com/

    Tidak perlu rendah diri walaupun gemuk

    KUALA LUMPUR 13 Jun – Beberapa personaliti tempatan bersaiz besar menganggap kegemukan di kalangan wanita tempatan bukan satu isu asalkan mereka mampu berdikari dan menjalani kehidupan yang berkualiti.

    Bahkan, wanita yang gemuk perlu lebih realistik tanpa memandang rendah bentuk badan sendiri agar tidak memudaratkan kesihatan mental.

    Selain itu, masalah mendapatkan pakaian bersesuaian juga tidak sepatutnya menjadi halangan untuk tampil bergaya sebagaimana golongan bersaiz lebih kecil.

    Pelakon, pengacara dan produser, Syaniza Hisham (Syanie) bersyukur dianugerahkan badan yang sihat membolehkannya mencari rezeki tanpa bergantung kepada orang lain.

    Baginya, wanita yang berbadan besar perlu berfikiran positif dan tahu menilai kemampuan diri sendiri agar tidak menyusahkan orang lain.

    “Wanita yang mendapat pelbagai penyakit yang berpunca daripada kegemukan perlulah berusaha mengatasinya termasuk mengurangkan berat badan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

    Beliau diminta mengulas laporan kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan yang mendapati satu juta atau 18.8 peratus wanita berusia 25 hingga 64 tahun mengalami masalah gemuk.

    Bagi Syanie, setiap wanita perlu percaya kecantikan dalaman termasuk pekerti dan kemahiran berdikari adalah lebih penting berbanding kecantikan rupa paras yang boleh luntur dimamah usia.

    Beliau juga menyelar wanita yang meratapi saiz badan sendiri dengan menganggap saiz sebagai halangan untuk bergaya.

    “Kebelakangan ini, banyak jalur fesyen untuk golongan bersaiz besar muncul jadi mereka mempunyai lebih banyak pilihan, tetapi jika mereka masih merasakan gemuk sebagai halangan, mereka perlulah berusaha mengatasinya,” tegasnya.

    Penyanyi ceria, Faradina Mohd. Nadzir (Dina) pula berpendapat perangkaan terbaru itu bukanlah sesuatu isu yang mengejutkan sebaliknya merupakan satu evolusi normal manusia akibat pelbagai faktor khususnya hormon dan gaya hidup.

    “Ramai wanita tempatan khususnya yang bekerja mempunyai saiz besar bukan kerana malas atau obses pada makanan tetapi disebabkan faktor-faktor lain seperti keturunan, penyakit dan latar belakang pekerjaan,” katanya.

    Contohnya, menurut beliau, salah seorang rakannya mengalami kegemukan sejak kecil akibat saluran penghadaman gagal menghasilkan hormon-hormon pankreas.

    Oleh itu, penyanyi yang ligat menari itu berharap masyarakat lebih berfikiran terbuka agar golongan ini dapat menjalani kehidupan normal tanpa sebarang perasaan rendah diri.

    Beliau yang lahir dalam keluarga bersaiz besar tidak merasa rendah diri dengan bentuk badannya, tetapi mengaku pernah berusaha melangsingkan badan.

    Bagaimanapun, jelasnya penggunaan pil pelangsing itu telah memudaratkan kesihatan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan perubatan.

    Kategori: Feyen Gemuk
    Tagged: ,

    Gubahan Perkahwinan

    Februari 4, 2008 · Tinggalkan Komen

    Gubahan hantaran penyeri perkahwinan

    Oleh MERAN ABU BAKAR

    DALAM majlis perkahwinan Melayu, hantaran antara perkara penting yang perlu ada. Pada majlis bersejarah itu, lazimnya pengantin lelaki dan perempuan akan saling berbalas hantaran.

    Mengikut adat, jumlah hantaran mestilah ganjil, contohnya lima, tujuh, sembilan, sebelas dan seterusnya. Balasannya juga perlu diadakan dalam angka ganjil.

    Hantaran, yang boleh dianggap sebagai hadiah kepada pasangan masing-masing akan dibuat beberapa hari lebih awal. Pelbagai gaya kreatif dilihat dalam menggubah sesebuah hantaran.

    Pada masa kini, kebanyakan memilih warna tema tertentu bagi majlis perkahwinan mereka termasuk daripada segi warna hantaran, pelamin, bilik pengantin, pakaian keluarga, warna khemah dan sebagainya.

    Hantaran sememangnya sebagai penyeri sesuatu majlis perkahwinan. Selain keluarga, tetamu yang datang biasanya teringin untuk melihat hantaran pengantin.

    Rooslina Bakar, 43, yang berkebolehan membuat hantaran sejak remaja, sebenarnya sukakan kelainan bagi setiap hantaran yang dibuatnya.

    “Saya gemarkan sesuatu yang berbeza dan berkonsep moden,’’ jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Selayang, Selangor, baru-baru ini.

    Menurut guru sebuah sekolah menengah ini, membuat hantaran hanya sebagai hobi dan bukannya sebagai pendapatan, namun jika ada kawan-kawan yang meminta tolong dan kebetulan mempunyai masa lapang, beliau tidak menolak.

    Konsep

    “Biasanya saya akan tanya konsep warna yang mereka kehendaki dan berapa bajet mereka. Kemudian saya akan buat rekaan hantaran dan jika mereka setuju, barulah saya akan laksanakan keseluruhannya.

    “Rekaan hantaran terkini adalah yang berkonsepkan kristal menggunakan bunga-bunga hiasan yang saya buat sendiri daripada kristal tiruan,’’ katanya yang tidak menggemari hantaran sarat dengan hiasan atau terlalu banyak jumlahnya .

    Tambahnya, bunga memainkan peranan penting dalam mengindahkan hantaran. Tidak kira bunga hidup atau bunga tiruan, pemilihan bunga yang sesuai, tahan lama dan cantik harus diambil kira.

    Menurut Rooslina, biasanya beliau lebih suka memilih beberapa jenis bunga bagi gubahan yang dibuatnya seperti bunga mawar, orkid, peacock, lily dan dicampur dengan daun-daun pakis yang hijau.

    “Dengan bunga-bunga yang cantik, hiasan sesebuah hantaran tidak perlu sarat. Ia tampak ringkas dengan bunga sebagai penyeri hantaran.

    “Selain itu, alas dulang juga penting. Alas dulang cantik jika dibuat daripada kain renda, organza, satin atau sutera kerana jenis kain yang lembut akan membuatkan alas dulang ‘jatuh’ dengan cantik.

    “Jika ingin lebih nampak menarik, jahitkan manik, kristal atau permata tiruan. Bagi sesebuah hantaran, gandingan dulang hantaran, alas dulang dan hiasan harus sepadan dan seiring,’’ jelas Rooslina yang juga pakar membuat kek perkahwinan fondant dan sering mendapat tempahan daripada pihak hotel, dewan dan orang perseorangan.

    Malaysia Newspaper Utusan Malaysia – http://www.utusan.com.my/

    Kategori: Gubahan · Perkahwinan
    Tagged: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

    Nilai 3

    Februari 4, 2008 · Tinggalkan Komen

    Made in China di Nilai 3

    Oleh: NUR AZWA IBRAHIM

    NILAI 25 Jan. – Salah satu destinasi yang sering dituju oleh warga kota pada hujung minggu ialah Nilai atau lebih tepat lagi Pusat Jualan Borong Nilai 3.

    Ini kerana selain lokasinya yang tidak jauh dari Lembah Klang, ia juga menawarkan pelbagai jenis barangan terutama barangan perhiasan rumah, perkakasan dapur dan permainan kanak-kanak.

    Namun, di sebalik kepopularan tempat itu di kalangan orang ramai, peniaga dilihat cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan barangan berkualiti rendah.

    Apabila barangan berkualiti rendah, harganya juga sudah tentu lebih rendah dan bagi kebanyakan peniaga, kualiti tidak menjadi keutamaan asalkan harganya rendah kerana ia memudahkan jualan.

    “Mari, mari. Barang murah, harga boleh runding. Pilih-pilih,’’ sapa seorang peniaga warga asing dengan loghat negara asalnya kepada penulis sebaik sampai di sebuah kedai menjual permaidani di Nilai 3, baru-baru ini.

    “Ini kualiti baik, harga RM300. Tapi kalau adik mahu harga murah, saya ada karpet dari China, harga RM100 sahaja,’’ katanya.

    Itulah situasi yang sering dihadapi oleh pengunjung-pengunjung di pusat jualan borong itu, yang semakin menjadi tumpuan ramai.

    Walaupun pelbagai jenis barangan seperti pakaian, perkakasan dapur, barangan perhiasan, perabot dan permainan kanak-kanak boleh diperoleh pada harga yang menarik tetapi tanpa disedari, kebanyakan barangan tersebut diimport dari China.

    Tinjauan Utusan Malaysia di pusat jualan yang menjadi tumpuan ramai itu mendapati hampir kebanyakan barangan di situ mempunyai tulisan ‘Made in China’.

    Tidak kiralah sama ada pakaian kanak-kanak, karpet, bingkai gambar, kain, barang perhiasan dan tidak lupa permainan kanak-kanak.

    Tidak diragui, China mampu menghasilkan pelbagai jenis barang dengan harga yang murah disebabkan faktor tenaga buruh dan bahan mentah yang murah tetapi peniaga tidak sepatutnya berkompromi soal kualiti.

    Kebanyakan peniaga yang ditemui berkata, mereka memilih barangan dari China kerana ia jauh lebih murah daripada barangan negara lain.

    Seorang peniaga kain yang hanya mahu dikenali sebagai Abid berkata, kesemua kain yang dijualnya adalah diimport dari China.

    Katanya, ada peniaga yang mendakwa sesetengah jenis kain yang mempunyai kualiti yang bagus diimport dari Itali dan Korea, namun realitinya ia berasal dari China.

    “Barang buatan China boleh diperoleh dengan harga lebih murah iaitu hampir separuh daripada barangan buatan negara lain.

    “Oleh sebab itu, ramai peniaga yang memilih untuk mengimport barangan dari China untuk mendapatkan keuntungan yang lebih,’’ katanya yang sudah tiga tahun berniaga di situ.

    Seorang peniaga barangan perhiasan dari Sarawak yang enggan dikenali berkata, terdapat peniaga terutama warga asing yang meniru rekaan barangan di kedainya dan meminta pengilang dari China membuatnya.

    “Memanglah dari segi fizikal ia kelihatan sama, namun kualitinya tidak terjamin.

    “Walaupun barangan yang dijual peniaga warga asing lebih murah, tidak bermakna ia berkualiti tinggi kerana mereka hanya meniru rekaan tetapi jenis bahan yang digunakan mungkin kurang berkualiti,’’ katanya.

    Apa yang mendukacitakan peniaga tersebut ialah, harga yang dijual oleh peniaga warga asing terutamanya tidak banyak bezanya dengan apa yang dia tawarkan.

    Dia menceritakan pengalamannya tentang seorang pelanggan yang telah membeli tikar Sarawak daripada peniaga warga asing dan datang ke kedainya untuk membuat perbandingan.

    “Jika dilihat daripada mata kasar memang tiada kelainan, namun saiz dan jenis buluh yang digunakan adalah berbeza.

    “Pelanggan itu menyesal tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada apa-apa jaminan daripada peniaga tikar yang dibelinya,’’ katanya.

    Walaupun kesalahan dilihat terletak pada peniaga yang menjual produk tiruan itu, namun pembeli juga wajar disalahkan kerana lebih mementingkan harga daripada kualiti barangan.

    Apa pun yang terjadi, semuanya bergantung kepada kehendak pengguna sendiri sama ada menginginkan produk yang asli ataupun memilih produk tiruan.

    Namun, mereka perlu ingat bahawa permintaan yang tinggi terhadap produk murah dari China ini boleh menjadikan negara ini sebagai tempat lambakan barangan tidak berkualti.

    Tepuk dada tanya selera!

    Utusan Malaysia : www.utusan.com.my

    Kategori: nilai 3
    Tagged: , , , , , , , , , , , ,

    BENGKEL JAHITAN MANIK DAN LABUCI

    Februari 4, 2008 · Tinggalkan Komen

    BENGKEL JAHITAN MANIK DAN LABUCI

    Muzz (Kilauan Mustika) akan menganjurkan bengkel jahitan manik dan labuci;

    Tarikh : Sabtu, 9 Februari 2008.

    Tempat : No. 26, Jalan 17/21, Seksyen 17, Shah Alam.

    Silibus : 13 paten jahitan manik yang terkini.

    Bayaran : RM150.00
    Termasuk kain, jarum, benang, manik, labuci (6 jenis), Nota dan Makan
    tengahari.

    Jika berminat boleh hubungi muzz di talian 012-37626854.

    Kategori: Jahit Labuci · Jahit Manik
    Tagged: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,