BAJU KURUNG, BAJU KURUNG PIPING, BAJU KURUNG RIAU, BAJU KURUNG PAHANG, BAJU KURUNG PESAK GANTUNG, BAJU KEBAYA, BLAUS BIASA, TULANG BELUT…

Entries from Januari 2008

Festival Busana Muslim

Januari 31, 2008 · Tinggalkan Komen

IFF angkat rekaan lebih prestij

Oleh Noriah Idris
noriah@hmetro.com.my

PEMILIHAN kebanyakan fesyen di pentas peragaan Hotel Mulia Senayan, Jakarta baru-baru ini sempena Festival Busana Muslim (IFF) Kuala Lumpur-Jakarta begitu eksklusif dan sesuai untuk dipakai di majlis berprestij.

Pemilihan warna, corak bunga-bungaan atau polos serta padanan tudung beraneka, dilihat sesetengah pemerhati fesyen industri busana Muslimah menuju ke satu peringkat yang boleh melonjak lebih jauh lagi.

Festival buat kali kedua itu dilihat bukan sekadar ikon fesyen semata-mata bahkan mampu menjana pendapatan yang menghasilkan pulangan tinggi kepada negara.

Dinobatkan sebagai negara kedua di dunia yang paling ramai penduduknya menganut Islam, pemilihan Indonesia sebagai tuan rumah dalam penganjuran festival fesyen dikatakan tepat pada masanya.

Jika pada November tahun lalu menyaksikan festival pertama IFF mendapat sambutan menggalakkan, kali ini ia cuba mengalih tumpuan pereka dan peminat ke Jakarta bagi merealisasikan fesyen sebagai penyatuan dua negara serumpun.

Menurut Pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah, penganjuran di negara berkenaan dianggap lebih istimewa kerana menampilkan banyak penyertaan baru baik dari Malaysia mahupun Indonesia.

“Apa yang membanggakan, selain memaparkan rekaan masing-masing, pereka berkongsi panduan pemakaian busana Muslimah serta padanan selendang, tudung dan aksesori bersesuaian.

“Tip mengenai warna, fabrik serta penampilan lengkap wanita Islam dipamerkan dengan padanan pakaian begitu menarik apatah lagi ramai wanita hari ini mementingkan gaya dan teknik pemakaian yang sesuai ke majlis eksklusif,” katanya.

Menurut Rezza, nama pereka seperti Melinda Looi dari Malaysia, antara yang mampu memberi suntikan baru kepada busana Muslimah.

Manakala Chossy Latu, Harry Dharsono, Resna dan Sapto, Ghea Pangabean serta Ana Avanti dari negara jiran dilihat sebagai penggiat yang kreatif dalam merancakkan lagi industri fesyen ini.

Jika nama besar dalam dunia fesyen tanah air sebelum ini dimonopoli Datuk Tom Abang Saufi, Radzuan Radziwill, Carven Ong dan Melvin Lam, perkembangan semasa menyaksikan pereka muda seperti Kapas Couture turut menampilkan rekaan yang berani lagi terkini.

Secara umumnya, keseluruhan fesyen busana Muslimah menampilkan rekaan mengikut perkembangan fesyen dengan fabrik terpilih yang cukup menarik sehingga memukau khalayak terutama golongan ternama yang menjadi tetamu khas di IFF KL-Jakarta.

Selain sesuai digayakan di majlis eksklusif, pereka di IFF kali ini mampu mengetengahkan cetusan idea yang pelbagai tetapi paksinya tetap bertunjangkan penutupan aurat dalam usaha menggalakkan lagi gaya santun dalam berbusana.

“Jika sebelum ini kerancakan fesyen lebih banyak dipacu pereka dari Barat, kita mahu meletakkan busana Muslimah mendominasi industri fesyen tanah air di samping boleh meraih pulangan memberangsangkan dari sudut ekonomi hingga ke peringkat antarabangsa.

“Dengan adanya penganjuran seperti ini, impian untuk melihat industri busana Muslimah menguasai dunia fesyen akan dapat direalisasikan.

“Perkara ini pernah menjadi hasrat Penaung IFF, Datin Seri Rosmah Mansor yang mahu meletakkan busana ini sebagai daya tarikan penting terutama kehadiran pelancong asing dari Timur Tengah,” katanya.

Antara fesyen diketengahkan dan memukau lebih 700 hadirin di Jakarta baru-baru ini adalah gaya glamor yang berjaya meletakkan busana Muslimah dalam kelasnya yang tersendiri.

Kategori: Festival Busana Muslim

Tudung Wanita

Januari 31, 2008 · Tinggalkan Komen

Tutup kepala menawan, dapat pahala

SUNGGUH mengagumkan apabila fesyen terutama untuk wanita membuka ruang diskusi dan perdebatan, dari pentas peragaan di Paris dan New York hingga ke padang pasir berkerikil di negara Arab mengenai pakaian lelaki dan wanita sama ada dipandang dari sudut negatif atau positif.

Beberapa tahun lalu, perdebatan berkisar isu pakaian wanita Islam hebat diperkatakan dan aspek yang sangat mempesonakan ialah kebanyakan perdebatan itu didominasikan bukan Muslim.

Kepada sesetengah pihak, wanita bertudung lingkup dari kaki hingga kepala didakwa sebagai satu penindasan, manakala yang lain cuba memahami logik yang tersirat di sebaliknya, sementara bakinya tidak mempedulikannya malah berpendapat penerimaan cara berpakaian hak individu.

Sesuatu pakaian boleh dikatakan fesyen atau tidak bukannya berdasarkan faktor negara semata-mata. Jika anda dari Afrika Barat, contohnya warna terang, pakaian panjang dan aneka hiasan lazimnya mendominasi fesyen pakaian.

Jika anda dari Pakistan, mungkin menjadi cantik dengan ’salwar kameez’ (baju dan seluar yang longgar) yang ditakrifkan sebagai sentuhan menarik. Tetapi sekiranya anda mengenakan gaya berfesyen ekstrem dari Barat, norma atau kebiasaan yang perlu dibayar terlampau mahal harganya.

Beberapa tahun lalu, kita mendapati peningkatan bilangan remaja perempuan Islam mengenakan tudung untuk menutup kepala dan berpakaian dengan gaya sederhana.

Walaupun ia mungkin menjelakkan bagi golongan yang cenderung kepada ‘kebebasan’ dalam berfesyen, aliran itu semakin meningkat.

Ketika fesyen golongan lelaki tidak mendapat perhatian sebagai tajuk besar, fesyen wanita adalah sebaliknya mempunyai pengaruh kuat dalam hubungan sosial dan ekonomi.

Jika kita menyelidik lebih dalam, kita akan menemui sejumlah wanita Islam yang cenderung kepada pakaian sederhana.

Kita juga akan menemui wanita mengenakan tudung kerana pelbagai sebab dan alasan.

Di kebanyakan negara majoriti penduduknya Muslim, terutama negara Arab, transformasi kepada kesederhanaan berpakaian menunjukkan peningkatan dramatik beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda boleh terus menyelidiki senario ini, bilangan wanita memakai tudung kerana menjadi amalan masyarakat dari generasi ke satu generasi, wanita memakai tudung kerana sebahagian daripada fesyen atau mereka mengubah suai sehingga mewujudkan pelbagai gaya pemakaian tudung.

Kemudian, anda juga boleh menemui keseimbangan wanita yang mengutamakan kepercayaan agama, malah memahami kepentingannya dan oleh kerana itu memilih untuk memakai tudung.

Jika kita menoleh ke perbatasan Indo-Pakistan, ada kecenderungan berbeza dalam aspek ini. Pakaian wanita lebih sederhana, sama ada dengan ’salwar kameez’ atau ’sari’.

Tetapi di kalangan masyarakat Islam, wanita juga ada kelihatan tidak menutup kepala atau menutupinya secara acuh tidak acuh. Di sini mungkin ada alasan berbeza, tetapi secara asasnya menutup kepala secara sempurna adalah tanggungjawab beragama.

Adakah anda pernah bertanya pada diri anda. “Kenapa saya memakai pakaian begini? Adakah bagi mematuhi peraturan agama kerana pengaruh budaya atau sosial? Kemudian, apakah cita rasa cara berpakaian anda dipengaruhi agama yang anda anuti, kewarganegaraan anda, atau masyarakat anda? Apakah anda juga dipengaruhi aliran fesyen tempatan atau antarabangsa? Maryam, 19, dari Ghana, berkata jika mengikut budaya wanita di negaranya, mereka mengenakan pakaian panjang dan menutup kepala.

“Tetapi dengan semua yang berlaku seluruh dunia, kini saya mempunyai banyak persoalan dan mahu mengetahui agama lebih baik.

“Saya mula memakai hijab dan berasakan lebih banyak kebaikan mengenainya. Walaupun tiada yang ingin mendekati saya dan ini mungkin satu masalah, menutup kepala adalah tuntutan agama dan budaya. Saya memilihnya kerana tuntutan agama,” katanya.

Ruqayya, 22, dari Afrika Selatan, yang menggemari fesyen pakaian, berkata sebelum ini dia berpendapat aktiviti berfesyen bercanggah dengan agama.

“Tetapi sekarang saya tidak berfikir demikian. Saya percaya anda dapat memberikan komitmen kepada agama dan terus berfesyen, selagi anda memenuhi tuntutan syariat dan kod pakaian yang ditetapkan Islam.

“Hanya dua tahun lalu, saya mula berfikir mengenai hijab,” katanya yang sentiasa berpakaian sederhana (baju labuh dan berseluar atau berkain labuh).

“Saya mahu menutup rambut dan saya suka berbuat demikian dalam majlis tertentu. Saya tahu ia tidak sepatutnya dalam majlis tertentu. Bukan bermakna saya enggan memakainya, tetapi apabila saya mahu memakainya, saya mahu niat saya ikhlas,” katanya.

Huda, 16, dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), berkata: “Saya berfesyen untuk menarik hati.

Memang bukan begitu sepatutnya, tetapi saya hanya menjelaskan sikap jujur saya.” Dia bukannya mengenakan pakaian untuk menunjuknunjuk, tetapi dia memang suka kepada aksesori dan kelihatan anggun.

“Saya tidak kisah apa yang rakan saya fikir terhadap pakaian saya. Saya suka pujian dan berbual mengenai fesyen terbaru,” katanya.

Mengenai fesyen, secara langsung atau tidak, secara sedar atau tidak, orang akan sentiasa terpengaruh dengannya. Aliran fesyen bergerak pantas dan ramai remaja mendapati mereka tertekan apabila mahu menyesuaikan diri dengan gaya fesyen terkini.

Tetapi segelintir dapat menenangkan diri mereka daripada menghadapi kekalutan itu.

Ketika sesetengah memberikan alasan, fesyen membuatkan orang kelihatan anggun, sebaliknya ia juga boleh membawa masalah apabila ia mempengaruhi harga diri orang.

Penting untuk mengetahui alasan anda berpakaian sedemikian. Dengan cara itu, anda dapat menerima pilihan gaya anda dengan alasan munasabah.

Kategori: Tudung Wanita

Fesyen Tudung

Januari 31, 2008 · Tinggalkan Komen

Gadis menarik, menutup aurat

Oleh Noriah Idris
noriah@hmetro.com.my

BERKETRAMPILAN menarik penuh keanggunan, diserikan pula dengan tudung yang mempesonakan pasti menyerlahkan lagi gaya seseorang.

Pesona busana Muslimah bukan hanya ditandakan dengan pakaian sopan selain bertudung mahupun berselendang. Lebih daripada itu, berbusana sedemikian adalah tuntutan agama cuma ia disesuaikan dengan keadaan semasa.

Dalam aliran fesyen terkini, penampilan sedemikian bukan saja lebih menarik, malah ia kelihatan komersial dengan padanan warna mempesonakan. Bahkan ada yang melihat aliran itu agak eksklusif dengan motif bunga-bungaan mahupun corak lukisan yang menarik.

Pemilik koleksi busana muslimah ID Perempuan, Zaiton Alias, turut mengakui berbusana harus ditampilkan dengan gaya sopan yang boleh disesuaikan untuk sebarang majlis sama ada kasual mahupun rasmi.

“Gaya pakaian dan suai padan tudung harus diimbangi dengan etika yang sesuai dengan majlis dihadiri.

“Walaupun tiada etika meletakkan seseorang itu harus bertudung begitu dan begini, dalam perkembangan fesyen terkini, warna, corak dan motif yang ditampilkan diambil kira.

“Mereka yang pandai menyesuaikan warna pakaian dengan tudung akan tampak begitu eksklusif. Ini menunjukkan, warna dan gaya serta potongan yang dihasilkan memainkan peranan tersendiri dalam berfesyen.

“Apa yang penting, ciri sopannya tidak terpinggir daripada fungsi sebenar kerana berbusana adalah untuk menutupi aurat sebagaimana tuntutan Islam,” katanya.

Koleksi kepunyaan Zaiton Alias yang beroperasi di kediamannya sendiri di Damansara Heights, Kuala Lumpur ini sering diintip golongan kenamaan lantaran fesyen dikemukakan bercirikan tradisional dan kontemporari.

“Saya turut mengutamakan warna yang menjadi minat orang ramai. Ada yang mahukan warna sederhana dan lembut.

“Tidak kurang yang mahukan warna menyerlah dan kelihatan garang. Untuk itu, saya adunkan sepadan dengan warna tudung atau selendang dengan mengambil kira perkembangan fesyen semasa disesuaikan dengan aliran busana Muslimah.

“Ia penting kerana pencinta fesyen sentiasa mahukan kelainan dalam rekaan yang ditampilkan,” katanya.

Dia yang berpengalaman luas dalam koleksi busana Muslimah mengakui, fesyen berbusana hari ini menyaksikan perubahan dalam gayanya.

Kategori: Uncategorized

Fesyen Terbaru

Januari 31, 2008 · Tinggalkan Komen

Dipetik dari Harian Metro

CERIA dan bergaya. Itulah dapat disaksikan menerusi koleksi fesyen daripada beberapa jenama terkenal di Metrojaya sempena Tahun Baru Cina. Biarpun sarat dengan imej tradisional, kebanyakan koleksi tidak menyuntik elemen moden.
Fesyen ceongsam klasik masih menjadi keutamaan wanita untuk digayakan, antaranya koleksi terbaru Emanuelle.

Rekaan ceongsam klasik bersama fabrik jacquard berbunga cetak atau sulaman berwarna-warni sarat dengan unsur tradisional masyarakat Tionghua.

Fesyen itu turut dihiasi kolar Mandarin dan butang katak yang memberi gaya baru berfesyen.

Jika memilih melaram dengan fesyen moden pada hari perayaan nanti, himpunan terbaru daripada Passages, East India Company dan Somerset Bay, boleh dijadikan pilihan.

Himpunan terbaru Passages banyak menampilkan unsur kehidupan masyarakat Cina di samping menyelitkan elemen Jepun seperti motif bunga sakura dan fesyen kimono.

Elemen masyarakat negara matahari terbit berkenaan juga boleh didapati pada koleksi terbaru East India Company.

Menampilkan pelbagai warna ceria seperti merah jambu, hijau, oren dan coklat, himpunan itu menggunakan fabrik kombinasi linen, sutera sifon serta kapas lembut bersulam menarik.

Jenama terkenal itu menyediakan rekaan blaus ala kimono, gaun kapas, skirt paras lutut dan celana panjang.

Koleksi Somerset Bay pula masih menyelitkan unsur tradisi sekalipun menggunakan imej moden penuh glamor.

Gabungan budaya Timur dan Barat jelas kelihatan pada rekaan ceongsam dan qi pao.

Untuk si kecil, himpunan terbaru daripada Monica Queen dan East India Company memang menarik.

Antara rekaan yang boleh dicuba ialah baju qi pao yang digayakan bersama seluar denim, blaus kapas bercorak, skirt bersulam, kemeja dan celana panjang.

Kategori: Fesyen Terbaru

Baju Kebaya

Januari 30, 2008 · Tinggalkan Komen

Koleksi Aidilfitri Kuntum

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

TIDAK lengkap penampilan di pagi lebaran tanpa menyarung baju tradisional yang menjadi kebanggaan kita selama ini.

Biar sebanyak mana pun koleksi pakaian moden berada dalam simpanan namun naluri masyarakat di negara ini masih tebal untuk menggayakan pakaian tradisional yang sejak sekian lama menjadi lambang identiti bangsa.

Sama ada tempah atau siap sedia, pakaian tradisional memang mempunyai pengertian tersendiri, terutama jika digayakan pada pagi Aidilfitri.

Menawarkan pelbagai himpunan terkini, Butik Koleksi Kuntum di Taman Sri Gombak, Selangor, tampil memberi kelainan kepada penggemar fesyen baju tradisional menerusi koleksi menarik yang direka eksklusif dan terhad.
Pemiliknya, Jameiyah Mohd Jadi, berkata butik Koleksi Kuntum menyediakan rekaan terkini dan eksklusif untuk penggemar fesyen tradisional seperti baju kurung dan kebaya.

Setiap rekaan yang dikeluarkan hanya terhad kepada sepasang bagi menjamin kepuasan pelanggan.

“Koleksi Kuntum turut menyediakan khidmat tempahan pakaian mengikut cita rasa pelanggan berdasarkan apa yang dikehendaki.

“Turut diketengahkan ialah fesyen tradisional yang semakin diminati iaitu baju kurung Riau berpesak gantung dengan potongan menarik.

“Selain potongan baju kurung, Koleksi Kuntum turut menyediakan pelbagai fesyen terkini seperti kebaya labuh, kebaya moden, baju kurung Riau, kurung Kedah, kebaya kurung (kebarung), kurung leher Mandarin dan kurung pesak gantung,” katanya.

Menurut Jameiyah, fesyen berkenaan memang terkenal suatu masa dulu dan kini ia semakin diminati pelbagai lapisan masyarakat.

“Fesyen baju kurung tradisional sememangnya diminati dan dengan sedikit sentuhan moden, ia boleh menjadi busana kontemporari.

“Jika selama ini baju kurung sering digayakan bersama kain susun tepi namun kini ia boleh digayakan dengan pelbagai fesyen antaranya susun kiri dan kanan kain (Bob Split), selisih depan, selisih belakang dan seumpamanya,” katanya.

Sementara itu, Koleksi Kuntum kali ini banyak menggunakan fabrik mewah seperti organza, linen, sifon sulam, sifon dan kapas.

Menyerikan lagi rekaan, Jameiyah turut menyelitkan sulaman tangan manik, labuci di pergelangan tangan dan leher.

Kategori: BAJU KEBAYA

Kain Sifon

Januari 30, 2008 · Tinggalkan Komen

Bangkit seri Aidilfitri

Rahayu Mohd Salleh

KELEMBUTAN sifon sudah cukup membuai rasa. Apatah lagi dengan rekaan mempesona yang mampu membuat si gadis cukup jelita sepanjang Syawal ini.

Butik Sireh Pinang di pusat beli-belah Subang Parade, Subang Jaya, Selangor kali ini hadir dengan beberapa potongan menarik terutama buat remaja yang mahu memperagakan kepelbagaian gaya.

Menerusi penggunaan kain sifon yang banyak diketengahkan butik terbabit, rekaannya juga pelbagai termasuk kurung pesak gantung dan pesak Brunei, kurung Kedah moden serta blaus panjang.

Lebih menarik, adunan rona pilihan Sireh Pinang untuk Aidilfi tri kali ini begitu mudah membangkit seri.

Siapa kata merah terlalu garang? Buat si gadis remaja, warna berkenaan tidaklah janggal malah corak yang tidak keterlaluan tetap mampu menyuntik keunikan pada warna yang mudah mencuri tumpuan itu.

Menerusi potongan blaus panjang berbelah di keduadua sisi, ia dipadankan pula dengan tudung merah berhias sulaman yang tidak kelihatan keterlaluan.

Rekaan kurung Kedah 5 6 Sireh Pinang ketengah rona latar yang cerah serlah corak pakaian Menerusi potongan blaus panjang berbelah di kedua-dua sisi, ia dipadankan pula dengan tudung merah berhias sulaman yang tidak kelihatan keterlaluan.

Rekaan kurung Kedah modennya tidak kurang menawan apabila hujung lengan baju dan bawah baju disiapkan berlapis manakala pilihan rona serba biru untuk kurung Kedah ini memang klasik.

Kategori: Uncategorized

Manik

Januari 30, 2008 · Tinggalkan Komen

Busana polos bersulam manik

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

SIAPA kata busana polos kelihatan membosankan? Jika dihias sulaman manik dan labuci di bahagian leher, lengan serta hujung baju, ia pasti dapat menyerikan lagi fesyen berkenaan.

Sentuhan kreatif pereka muda yang sedang meningkat naik, Amin Jauhary dalam koleksi terbarunya sempena Aidilfitri kali ini nyata mengubah persepsi ramai terhadap busana polos.

Pereka yang pernah meraih pelbagai anugerah termasuk Pereka Fesyen Muda Asia (2001) dan Anugerah Benang Emas Majalah Jelita (2002) ini menggabungkan fesyen baju polos dengan sarung batik lukisan tangan yang tampak begitu bergaya pada majlis peragaan di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pemilihan warna terang dan lembut memang menjadi pilihan tepat kerana ia mampu memenuhi cita rasa pemakai yang pelbagai.
Biarpun sarat dengan rekaan moden kontemporari, pereka ini tetap tidak melupakan elemen tradisional yang sesuai untuk digayakan dalam suasana raya.

Fesyen kebaya polos memang sentiasa diminati dan lebih menarik jika ia dihiasi sulaman, kerawang mahupun manik hiasan.

Untuk tampilkan kelainan, Amin menggabungkan busana polos berkenaan dengan sarung ikat (pario) bermotifkan flora, geometri dan abstrak.

Rekaan baju berleher V juga tidak kurang menariknya apatah lagi jika ia diserikan dengan sulaman tangan labuci di leher serta baju dan digayakan bersama celana panjang putih, menyerlahkan lagi gaya feminin.

Untuk tampil penuh anggun pada majlis yang dihadiri, rekaan baju kurung Kedah dengan sarung pario batik lukisan tangan memang wajar dijadikan pilihan.

Busana berkenaan memang kelihatan jarang namun pemakai perlu pandai menyesuaikannya dengan baju di bahagian dalam supaya tidak kelihatan berlawanan.

Fesyen berkenaan memang kian diminati lantaran rekaan menarik busana polos dua lapis yang dihiasi sulaman manik di bahagian bawah baju, menyerlahkan lagi gaya si pemakai menyambut Syawal.

Tampil penuh tradisi, fesyen baju kurung yang diberi nafas baru kepelbagaian gaya leher seperti kolar Mandarin (cekak musang), V dan lebar berbutang.

Biarpun hasil rekaannya menerima suntikan kontemporari, koleksi Aidilfitri yang diperkenalkan itu masih dipengaruhi elemen tradisional untuk dipadankan dengan suasana raya.

Jika sebelum ini, ada pereka yang memperkenalkan gaya kebaya pendek dipadankan dengan seluar panjang, kali ini Amin menggarapkan blaus labuh untuk dipadankan dengan celana.

Blaus jarang yang dihiasi sulaman manik bermotifkan flora berkenaan tampak begitu anggun, terutama jika memilih rona terang dan hitam bagi gadis berkulit cerah.

Kategori: Uncategorized

Kain Kapas

Januari 30, 2008 · Tinggalkan Komen

Sentuhan eksklusif

Harian Metro

KAIN kapas memang digemari segenap lapisan masyarakat di negara ini. Selain lembut, ia mampu menyerap peluh dan sesuai di negara beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia.

Tidak hairanlah jika pemilik Koleksi Lil’ Aishah di Lucky Garden, Bangsar, Zalina Yusof, 42, memilih kain kapas sebagai fabrik utama dalam setiap rekaannya.

Katanya, kain kapas yang digunakan diimport dari Pakistan, China dan India bagi memberi sentuhan eksklusif.

“Kain kapas lebih lembut dan mempunyai banyak pilihan.

“Walaupun mahal, harga pakaian yang dijual di butik ini berpatutan iaitu daripada RM100 (sepasang) dan RM80 (untuk kain meter),” katanya.

Menurut Zalina, kain kapas amat sesuai dijadikan baju kurung untuk lebih bergaya dan blaus labuh bersama celana panjang.

Selain rona lembut, kain kapas gelap seperti hitam mampu kelihatan menarik jika kena dengan rekaannya.

Beliau berkata, aliran terkini menyaksikan permintaan meningkat terhadap kain kapas bersulam.

Kain kapas bersulam dan kain kapas bercorak lebih cantik berbanding fabrik biasa kerana motifnya seakan hidup.

“Ia mempunyai pelbagai motif menarik tetapi yang paling popular ialah corak fl ora dan fauna,” katanya.

Butik berkenaan menyediakan koleksi baju kurung tradisional berpotongan longgar, berpesak, kekek, kolar Mandarin dan berleher teluk belanga.

Butik itu juga mempunyai himpunan pakaian wanita menggunakan fabrik mewah seperti sutera, sifon dan renda Perancis.

Kategori: Kain Kapas

Batik Noor Arfa

Januari 30, 2008 · Tinggalkan Komen

Batik Noor Arfa berseni

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

KOLEKSI fesyen batik terkini Noor Arfa Batek Sdn Bhd (Noor Arfa) yang dipertontonkan di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini, jelas menampilkan kehalusan dan kecantikan seni rekaan yang tersendiri.

Tidak terlalu memberi tumpuan untuk gaya musim perayaan, himpunan Noor Arfa turut diselitkan dengan fesyen terbaru yang boleh digayakan pada hari biasa ataupun majlis rasmi di malam hari.

Menurut perekanya, Shabri Saad, himpunan berkenaan banyak menggunakan pelbagai jenis fabrik bermutu seperti sifon, satin, jacquard, organza dan kapas dengan motif flora, abstrak serta kontemporari.

“Masyarakat kini tidak lagi memandang batik sebagai fabrik murahan. Batik kini mempunyai peminat dan berada dalam kelas yang tersendiri.

“Sedikit sentuhan kreatif menggabungkan elemen tradisional dan moden mampu menjadikan sesuatu fesyen yang selama ini kelihatan biasa kepada gaya menarik dan lebih kontemporari,” katanya.

Bagi penggemar batik, anda tidak perlu lagi pening kepala mencari pereka atau tukang jahit untuk menempah pakaian kerana semakin banyak pakaian siap dijual di pasaran.

Sesekali berkebaya moden ketika menghadiri majlis rasmi memang tampak menawan, terutama jika ia dipadankan dengan sarung batik warna senada.

Kebaya jarang yang disulami manik dan kerawang berkenaan jelas mampu menyerlahkan gaya feminin pemakai apatah lagi menggayakannya bersama selendang.

Jika mahukan kelainan, boleh memilih koleksi kebaya Noor Arfa sama ada pendek mahupun moden dengan pelbagai jenis leher menarik, mengikut cita rasa masing-masing.

Untuk acara hujung minggu, fesyen blaus panjang belah tepi dengan leher baju kurung memang bergaya. Tambah menarik jika ia dipadankan bersama celana putih dan menyarungkan kasut bertumit tinggi.

Tidak ketinggalan fesyen baju labuh tanpa lengan menarik yang sesuai bagi mereka yang ringkas dan gemarkan keselesaan.

Bagi yang masih kental dengan fesyen tradisi, koleksi baju kurung Noor Arfa yang terbaru boleh dijadikan pilihan. Masih mengekalkan bentuk asal namun rekaan bajunya dipelbagaikan bagi menepati cita rasa pemakai masa kini.

Tampak santai dan selesa, pelbagai jenis kemeja batik menarik sama ada berlengan panjang mahupun pendek untuk si jejaka yang mementingkan gaya.

Mahu lebih eksklusif, kemeja batik sutera corak abstrak sesuai dijadikan pilihan manakala kemeja lengan pendek daripada fabrik kapas pula untuk bersantai di hujung minggu bersama rakan mahupun yang tersayang.

Kategori: Fesyen Batik · Noor Arfa · Rekaan Batik

Busana tradisional Mixora

Januari 30, 2008 · Tinggalkan Komen

Teks Yooga Rani Murugiah
yooga@hmetro.com.my

BIARPUN fesyen silih berganti, baju kurung dan kebaya tetap diminati.

Ini yang anda dapat lihat apabila melangkah ke butik Mixora Collections Sdn Bhd di USJ21 Subang Jaya, Selangor.

Butik busana tradisional ini sudah lima tahun diusahakan Datin Fuziah Mohd Noor bersama dua anaknya, Ernie Fadzleena, 25, dan Ernie Farhana, 21, bagi mengembangkan bakat dan menonjolkan daya kreativiti dalam bidang fesyen.

“Perniagaan ini milik keluarga, kami sama-sama memajukannya dan bila berjaya bererti ia kejayaan keluarga,” katanya.
Ernie yang memiliki diploma dalam bidang fesyen, berkata butik ini berfungsi memberikan khidmat perundingan fesyen.

Himpunan Mixora Collections memenuhi keperluan semua peringkat pelanggan termasuk menyediakan busana untuk wanita bertudung.

Ia juga gemar menampilkan paduan warna terang dan lembut, menjadikan setiap rekaan menggunakan fabrik sutera asli Terengganu, Thai, organza serta sutera Indonesia, tampak mewah dan unik.

Kategori: Uncategorized
Tagged: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,